Lawatan Kerja YB Menteri Perpaduan Negara ke Negeri Kedah

Lawatan Kerja YB Menteri Perpaduan Negara ke Negeri Kedah

YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara mengadakan Lawatan Kerja ke Negeri Kedah dari 14 hingga 15 Julai 2022. Tujuan lawatan tersebut adalah bagi meninjau Gerak Kerja Pasca Banjir dan Tinjauan ke Dapur Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan yang terjejas akibat kejadian banjir lumpur di Baling, Kedah pada 4 Julai 2022.

Selain itu, bagi mendengar Taklimat Kejadian Bencana Banjir yang disampaikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez bin Abdul Rahim, lawatan ke Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir Baling telah dilakukan YB Menteri Perpaduan Negara.

Tinjauan dibuat ke Gerak Kerja Pasca Banjir serta Sumbangan RT Cares disampaikan kepada 42 keluarga terjejas di KRT Pekan Kupang (Sejahtera) dan 118 keluarga di KRT Pekan Kupang (Sentosa) oleh YB Menteri atas dasar KPN prihatin dan semangat Keluarga Malaysia terhadap mengsa-mangsa banjir.  Contoh Sumbangan RT Cares yang disediakan adalah seperti periuk nasi elektrik, cerek elektrik, dapur gas, kopi, teh, biskut, selimut, toto, kain batik, kain pelikat, lampin pakai buang, tuala wanita dan pakaian dalam wanita.  Sumbangan berupa wang tunai turut dihulurkan kepada semua keluarga yang dilawati oleh YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique.

Tidak ketinggalan, tinjauan ke Dapur Komuniti di KRT Kampung Bok Bak – Tanjung Nering, Baling, Kedah turut diadakan bagi menyantuni Sukarelawan Dapur Komuniti KRT dan penyampaian sumbangan RT Cares kepada 20 buah keluarga yang terjejas.  Aktiviti bergotong-royong dari segi memasak dan penyediaan makanan oleh pihak Sukarelawan Dapur Komuniti KRT dijalankan bagi membantu keluarga yang terjejas akibat bencana banjir.

Di samping itu, 13 keluarga mangsa banjir di Kampung Baru Kupang akan menerima sumbangan berupa bantuan kewangan, barangan peralatan elektrik dan keperluan harian oleh YB Menteri Perpaduan Negara pada 14 Julai 2022.  YB Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara berharap agar semua mangsa yang terkesan akibat banjir lumpur tersebut diberi kekuatan dan kesabaran bagi menghadapi musibah yang telah melanda mereka.