Kupasan Topik Tentang Wanita di Women Talk

Kupasan Topik Tentang Wanita di Women Talk

Bermula 02 April 2022, sebuah program bual bicara “Women Talk” bakal bersiaran di saluran TV3 pada setiap hari Sabtu jam 5:00 petang dan strim live di www.tonton.com.my. Sidang produksi Women Talk diketuai oleh Puan Shahila Shah sebagai ketua penerbitan manakala Datin Elaine Daly, Said Thani dan Farrah Naz Karim sebagai penerbit serta menampilkan gandingan Deborah Henry dan Zoraya Vadillo sebagai hos.

Tarikan yang ditampilkan dalam Women Talk adalah dengan pembawaan konsep yang akan mengupas topik-topik dan isu-isu semasa mengenai wanita dan ikon serta tokoh dari pelbagai perspektif bidang.

Antara topik yang dibincangkan seperti kemenangan wanita Malaysia, terjerumus dalam gangguan seksual, vaksinasi dan dos penggalak COVID-19 kepada wanita dan kanak-kanak, penglibatan wanita dalam bidang perniagaan, tokoh-tokoh wanita berpengaruh di dunia politik, keselamatan kewangan dan saringan untuk pemangsa seksual yang memburu anak-anak kecil.

Tayangan episod pertama semestinya membuatkan penonton teruja dengan paparan topik ‘Meraikan Kemenangan Wanita Malaysia’ dengan Datuk Nicol David dan Datuk Noor Farida Ariffin, wakil United Nations di Belanda sebagai tetamu jemputan. Datuk Nicol David merupakan ikon negara yang memberi inspirasi kepada golongan muda untuk mengejar cita-cita mereka manakala Datuk Noor Farida Ariffin, seorang tokoh wanita yang lantang bersuara tentang isu semasa dan hal ehwal politik Malaysia. Beliau telah menceburi bidang penjawat awam selama 36 tahun.