KOLABORASI MANTAP MIA LATEEFA & ISMAIL IZZANI DALAM ‘KAU TAHU’

KOLABORASI MANTAP MIA LATEEFA & ISMAIL IZZANI DALAM ‘KAU TAHU’

Mia Lateefa, puteri pop baharu yang popular di negara ini dan penyanyi single berkembar “Anima” dan “Anima Bella,” menghangatkan lagi dunia muzik Malaysia dengan penerbitan “Kau Tahu,” single terbaru mereka yang turut menampilkan Ismail Izzani, penyanyi remaja terkenal tanah air. Lagu itu ditulis oleh mereka berdua bersama komposer terkenal seperti Mingaling, Ezra Kairo, dan Amir Hasan, sambil diterbitkan oleh Deep Faith Entertainment.

“Syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya sekali lagi saya diberi peluang untuk mempersembahkan sebuah lagi karya istimewa buat pendengar muzik masa kini.

“Saya masih lagi dalam fasa bereksperimentasi dengan muzik dalam pencarian ‘bunyi’ sebenar saya di mana saya akan menghabiskan masa di studio bersama rakan seperjuangan dan guru muzik untuk bertukar-tukar pendapat serta idea, jika bukan itu saya akan lebih fokus terhadap penjagaan fizikal dan juga kesihatan mental,” jelas gadis jelita berdarah kacukan Melayu-New Zealand ini, yang berumur 20 tahun.

Impian Mia untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain akhirnya diperkenankan setelah diidamkannya sekian lama, jelasnya, “Sudah lama saya menunggu peluang sebegini kerana dapat meluaskan portfolio saya sebagai seorang penyanyi serta mencuba sesuatu yang baharu.

“Dan sudah tentunya Mael adalah pilihan saya kerana kami sudah lama mengenali satu sama lain dan sama-sama membesar dan berevolusi dengan muzik. Bagi saya, Mael adalah di antara penyanyi muda terbaik dan berbakat tanah air, jadi it’s a no-brainer kenapa saya memilih dia.

Menurut Ismail pula, “Pada mulanya Mia menghubungi saya menyatakan hasratnya untuk berkolaborasi dalam sebuah single, dan tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju kerana ini adalah idea bernas dan tidak rumit untuk bekerjasama dengannya.

“Saya mula mengenali Mia sejak tahun 2015 lagi dan sudah pun menganggapnya seperti adik sendiri, ketika di usia muda lagi dia mempunyai bakat yang semulajadi. Apa yang boleh saya katakan di sini, Mia seorang yang rajin berusaha dan akan memperuntukkan masa untuk mempelajari sesuatu, contohnya seperti tarian, kalau boleh saya simpulkan di sini, fun dan kelakar, itulah Mia!

Single Kau Tahu merupakan adaptasi dari pengalaman Mia sendiri yang diolah ke dalam lirik, katanya, “Saya jenis orangnya kalau sayangkan seseorang akan curahkan segala perasaan dan cuba berusaha yang terbaik demi individu tersebut.

“Lagu ini menceritakan tentang curahan kasih sayang terhadap kekasih namun ianya tidak dihargai atau hanya dibalas sekadar sahaja.

Lagu yang berdurasi 4:27 minit ini jelas mengangkat irama R&B yang menjadi teras kepada keseluruhan karya. Ia mungkin langkah berani di sisi vokalis muda itu, namun ia mempunyai tarikan tersendiri seperti ayat rap yang dituturkan Ismail yang melengkapkan Kau Tahu dan menambah variasi dinamik.

Video muzik (MV) yang dilancarkan serentak memaparkan visual mengasyikan ibarat dalam sebuah dunia khayalan ciptaan Mia, ulasnya, “Saya mahu penonton terpesona dengan ‘rasa’ MV Kau Tahu melalui tarian yang dibawakan saya dan Mael, seakan berada dalam dunia sendiri tanpa menghiraukan apa kata orang luar.

Walaupun kecintaan Mia untuk menari tidak terhad dan berakar umbi dalam jiwanya, dia menemui tenaga baharu melalui nyanyian, dan perjalanan seninya kelihatan cerah seperti mengembara melalui bintang-bintang galaksi.

“Muzik adalah medium terbaik buat saya untuk meluahkan apa yang terbuku di hati, saya dapat ceritakan apa yang terpendam dan mempelajari banyak perkara baharu dalam kehidupan dari mereka yang mencorakkan perjalanan seni saya.

“Semoga semua yang mendengar Kau Tahu akan terhibur dan menari bersama rentaknya serta jangan lupa selami maksudnya kerana saya pasti ramai di luar sana pernah mengalami situasi yang sama. Jadikan pengalaman lalu pengajaran buat kita untuk lebih kuat kehadapan.

Lagu “Kau Tahu” tersedia untuk dimuat turun di iTunes, di mana ia juga boleh digunakan sebagai nada dering untuk panggilan kepada semua penyedia telekomunikasi tempatan. Ia juga boleh dimainkan dan dinikmati pada bila-bila masa melalui perkhidmatan penstriman dalam talian termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music. Manakala MV hanya boleh diakses di saluran YouTube Mia Lateefa Keyte pada hari yang sama.