KK Super Mart, GS25 jalin kerjasama

KK Super Mart, GS25 jalin kerjasama

KEDAI serbaneka 24 jam, KK Super Mart menjalin kerjasama dengan pengendali rangkaian kedai serbaneka Korea Selatan, GS25 bagi membuka cawangan di Malaysia pada 2023.

Kedua-dua syarikat itu akan membuka GS25 pertama di Malaysia menerusi perkongsian analisis data pelanggan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik mengikut keperluan pelanggan tempatan.

Majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat tersebut telah berlangsung pada 9 Julai lalu dan turut dihadiri pihak pengurusan tertinggi syarikat masing-masing.

Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, kerjasama antara kedua-dua syarikat itu akan mewujudkan kedai serbaneka konsep baharu yang memenuhi gaya hidup masyarakat masa kini.

“Malaysia telah memasuki era pasca pandemik Covid-19, namun ekonomi dan industri pekerjaan masih lagi terkesan. Oleh itu, kita boleh mewujudkan platform keusahawanan untuk golongan muda yang bersemangat untuk menyertai bidang perniagaan pada masa akan datang.

“Kedua-dua syarikat memutuskan membuka kedai GS25 pertama di Malaysia pada 2023 dan kedai ke-500 dalam tempoh lima tahun akan datang. Jenis perkongsian ialah sistem francais induk yang mana GS Retail akan menerima royalti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Naib Presiden GS Retail, Jeong Jae-hyeong melawat KK Super Mart bagi mendapatkan gambaran keseluruhan mengenai pengalaman perniagaan kedai serbaneka itu yang dilihat berpotensi tinggi pada masa hadapan.

“Selain memperkenalkan produk khas seperti Simply Cook dan Cookat kepada pelanggan Malaysia, kita juga akan menyediakan platform perkhidmatan yang berjaya di Korea seperti Our Neighbourhood Delivery dan kurier Half-price Courier untuk disesuaikan dengan keperluan tempatan,” katanya.



Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber