Kerjasama Malaysia-Tesla melangkaui sektor EV – Tengku Zafrul

Kerjasama Malaysia-Tesla melangkaui sektor EV – Tengku Zafrul

Tengku Zafrul pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023 pada Isnin. - Foto Bernama

Tengku Zafrul pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023 pada Isnin. – Foto Bernama

POTENSI kerjasama di antara Malaysia dan Tesla bukan sahaja terhad kepada sektor kenderaan elektrik (EV) semata-mata tetapi turut membabitkan sektor lain, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, akan ada pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk sebelum akhir minggu ini.

“Terdapat lebih daripada sektor EV yang akan kita bincangkan dalam potensi kerjasama ini.

“Apa yang kita mahu ialah untuk menarik lebih banyak potensi atau komitmen pelaburan dalam sektor automotif dan sektor lain yang boleh kami pasarkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023 di sini pada Isnin.

Tesla, pereka dan pengilang EV yang beribu pejabat di Austin, Texas, AS, akan membuat penampilan sulung rasminya di Malaysia dengan pelancaran rasmi berlangsung di Kuala Lumpur pada 20 Julai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, beliau berharap Tesla akan mengambil bahagian dalam IEMS 2023 yang dijadualkan pada 4-6 Oktober.

Beliau berkata, IEMS 2023 berharap untuk memperoleh RM4 bilion dalam teknologi hijau dan prospek pelaburan yang diterajui kemampanan berbanding RM3 bilion yang diperoleh pada tahun lepas.

Kira-kira 400 peserta pameran dari 40 negara seperti China, Jepun, Taiwan, Sweden, Austria dan Belanda dijangka mengambil bahagian dalam IEMS 2023, yang bakal menarik 40,000 pengunjung. – Bernama

Sumber