Kenaikan OPR berterusan perlahankan perkembangan ekonomi – Pakar

Kenaikan OPR berterusan perlahankan perkembangan ekonomi – Pakar

SEBARANG kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) secara berterusan walaupun dapat meredakan inflasi, namun boleh memperlahan perkembangan ekonomi domestik, kata pakar ekonomi.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, ini boleh dilihat apabila penurunan kadar inflasi sebanyak sembilan bulan berturut-turut dikaitkan dengan penetapan kadar OPR tersebut.

“Secara teorinya apabila OPR dinaikkan secara berterusan, ini akan memberi tekanan untuk inflasi turun. Kenaikan OPR ke aras 3.0 peratus itu misalnya terbukti menurunkan kadar inflasi kepada 2.8 peratus.

“(Sebaliknya) OPR yang terlalu rendah akan menyebabkan ekonomi meruap apabila berlakunya banyak aktiviti perbelanjaan dan penjualan yang meningkatkan inflasi secara mendadak,” katanya dalam rancangan Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV, pada Jumaat.

Beliau mengulas keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada 3.00 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), pada Khamis.

Menjelaskan selanjutnya, Ahmed Razman berkata, OPR merupakan sebahagian daripada polisi monetari di bawah tanggungjawab BNM yang menyumbang ke arah kestabilan ekonomi.

Kaedah lain bagi menangani inflasi dan kos sara hidup adalah melalui polisi fiskal di bawah Kementerian Kewangan (MOF) menerusi pemberian bantuan tunai, subsidi dan insentif cukai.

Langkah sedemikian juga sering dipraktikkan oleh negara-negara yang mengalami kadar inflasi terlalu tinggi.

Negara dengan kadar inflasi terlalu tinggi seperti Argentina (114 peratus) dan Turkiye (38 peratus) turut bertindak mengenakan kadar faedah tinggi sebanyak 97 peratus dan 15 peratus, katanya.

“Apabila kerajaan tidak dapat megawal harga barang dan perkhidmatan untuk meredakan kos sara hidup yang teruk, ia terpaksa mengenakan kadar faedah tinggi.

“Bagi Malaysia dengan kadar inflasinya turun kepada 2.8 peratus dan dijangka terus stabil, BNM dilihat tiada keperluan untuk menaikkan lagi kadar faedah lebih tinggi pada tahun ini,” katanya.

Namun, beliau turut mengingatkan bahawa kadar OPR yang terlalu rendah boleh menyebabkan keadaan yang mana ramai meminjam dan tidak membuat simpanan kerana kos meminjam yang rendah manakala kegagalan membayar hutang pula akan membebankan ekonomi.

Atas alasan itu, katanya, BNM perlu sentiasa menilai situasi ekonomi dan pasaran domestik semasa dalam membuat pertimbangan yang tepat selain meneliti ketidaktentuan ekonomi global serta impaknya terhadap negara.

Beliau juga melihat BNM sentiasa berbincang dengan pihak kerajaan dan industri bagi membuat keputusan secara berhati-hati selain meneliti keadaan semasa dan perkembangan terkini.

Di peringkat global, Ahmed Razman juga menyifatkan negara-negara sudah memaparkan kadar inflasi yang mereda setelah bertindak menaikkan kadar faedah berterusan dengan bank pusat masing masing mulai mengekalkan kadar faedah, sekali gus menunjukkan ekonomi dunia yang semakin perlahan.

Ini memberi impak kepada Malaysia yang juga negara pengeksport apabila permintaan akan turut berkurangan dengan kesannya kepada rakyat dan peniaga.

“Saya melihat apabila ekonomi perlahan walaupun OPR dikekalkan pada kadar 3.0 peratus, namun potensi untuk ekonomi berkembang maju mungkin terhad dan ada kekangan… oleh itu kerajaan perlu terus berhati-hati,” katanya.

Bagi rakyat pula, Ahmad Razeman menyarankan dalam senario ekonomi yang tidak menentu, orang ramai perlu meneruskan perbelanjaan secara berhemat, berbelanja mengikut kemampuan serta mengelak daripada melakukan hutang baharu.

“Kita harus mengukuhkan simpanan serta pelaburan serta meningkatkan pendapatan, termasuk dengan menambah pengetahuan dan kemahiran,” katanya. – Bernama

Sumber