Kedah terima pelaburan RM14.6 bilion bagi separuh pertama 2023 – Sanusi

Kedah terima pelaburan RM14.6 bilion bagi separuh pertama 2023 – Sanusi

Sanusi bercakap pada sidang media mengenai prestasi pelaburan di Kedah di Wisma Darul Aman pada Khamis. - Foto Bernama

Sanusi bercakap pada sidang media mengenai prestasi pelaburan di Kedah di Wisma Darul Aman pada Khamis. – Foto Bernama

KERAJAAN negeri Kedah menerima pelaburan diluluskan berjumlah RM14.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2023, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, angka itu satu pencapaian membanggakan yang dipacu dengan kelengkapan fasiliti yang disediakan di negeri itu terutamanya di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) selain kepantasan membuat kelulusan.

“Ini satu pencapaian yang membanggakan dalam tempoh enam bulan dan mungkin kita akan mencatat lebih daripada itu dalam tempoh enam bulan lagi. Sasaran Kedah dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu setiap tahun kita akan mencapai puratanya RM10 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kulim Technology Park Corporation di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Mengulas berkenaan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan tanggungjawab bagi menyediakan fasiliti di KRC antaranya aspek pengambilan tanah dan pembekalan air.

“KRC itu yang tertinggal cuma elektrik, dan kerajaan (negeri) telah menyelesaikan semua tanggungjawab kerajaan, sudah membuat pengambilan tanah untuk Tenaga Nasional Bhd memasang talian penghantaran voltan tinggi.

“Dari segi bekalan air juga cukup. Sebagai permulaan, 10 mld (juta liter sehari) pun kita ada (mampu sediakan),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menjangkakan lebih ramai pelabur berminat untuk melabur di KRC kerana memiliki kawasan yang luas dan berpotensi besar terhadap produk huluan dan hiliran berasaskan getah.

“Ini baru fasa satu. Sebenarnya kita lihat sektor getah ada huluan dan hiliran. Ada banyak lagi sektor hiliran dalam sektor getah ini. Saya lihat banyak produk yang Lembaga Getah Malaysia melakukan penyelidikan untuk menghasilkan pelbagai produk. Kesemuanya boleh dibawa masuk ke KRC,” katanya.- Bernama

Sumber