KBS LANCAR GARIS PANDUAN PEMBANGUNAN SUKAN ELEKTRONIK KEBANGSAAN (NESDEG)

KBS LANCAR GARIS PANDUAN PEMBANGUNAN SUKAN ELEKTRONIK KEBANGSAAN (NESDEG)

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah melancarkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan atau National Esports Development Guideline (NESDEG) pada hari ini sebagai langkah pertama ke arah pembangunan industri sukan elektronik Malaysia.

NESDEG diwujudkan rentetan dari Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk Pembangunan Sukan Elektronik 2020-2025 (“Pelan Strategik Sukan Elektronik”). NESDEG dirangka dengan kerjasama antara Esports Integrated (ESI), Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KBS dan FUTURISE, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan dengan penglibatan semua pemegang taruh daripada sektor kerajaan dan swasta.

Matlamat NESDEG adalah untuk memberi panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan tanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri selain menggariskan panduan dan prosedur untuk membuat keputusan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang lebih baik.

Terdapat 6 teras utama di bawah NESDEG yang meliputi pelbagai skop yang penting untuk pembangunan ekosistem sukan elektronik yang selamat, bertenaga, inklusif dan mampan, iaitu:

I. Pengurusan Kontrak Pemain

II. Tadbir Urus Penganjuran Acara

III. Memantau dan Melindungi Kanak-Kanak

IV. Tatakelakuan dan Etika

V. Garis Panduan Laluan Kerjaya

VI. Aplikasi Sains dan Perubatan Sukan di dalam Sukan Elektronik

Untuk memastikan NESDEG ini diterima secara meluas, ESI akan menjalankan kempen pendidikan di seluruh Malaysia yang terdiri daripada jelajah, penglibatan forum, perbincangan atas talian yang menampilkan kandungan-kandungan yang menggalakkan perbincangan yang lebih praktikal dan aktif dan akhirnya diterima oleh masyarakat.