Kadar OPR kekal pada 2.75 peratus

Kadar OPR kekal pada 2.75 peratus

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Perkara tersebut dimaklumkan BNM menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada tahap OPR semasa, BNM memaklumkan pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

“MPC akan terus menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi.

“MPC terus berwaspada terhadap faktor kos yang boleh menjejaskan prospek inflasi, termasuk faktor yang disebabkan oleh perkembangan pasaran kewangan,” memetik kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menambah, langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Malah, BNM memaklumkan, MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan. – Awani

Sumber