JUMPA @ Sungei Wang annex dibuka

JUMPA @ Sungei Wang annex dibuka

JUMPA @ Sungei Wang annex dibuka pada 25 September 2019

Pelbagai penawaran terkini dan konsep baharu peruncitan bakal menghidupkan semula pusat membeli-belah yang berusia 42 tahun ini

Suasana di  JUMPA @ Sungei Wang
Suasana terkini di JUMPA @ Sungei Wang

JUMPA @ Sungei Wang, destinasi membeli-belah terkini di Kuala Lumpur telah mula menerima kunjungan para pelanggan pada 25 September 2019. JUMPA @ Sungei Wang yang telah diberi nafas baharu ini adalah blok tambahan (annex) kepada pusat membeli-belah Sungei Wang yang berusia 42 tahun dan terletak di tengah-tengah kawasan Segi Tiga Emas. Ia memberi kelainan dalam pengalaman peruncitan harian dengan fokus terhadap golongan muda dan berjiwa muda yang ingin menikmati pengalaman peruncitan yang moden dan meriah.

JUMPA @ Sungei Wang menawarkan pelbagai pilihan untuk peruncitan, makanan dan minuman (F&B) serta hiburan keluarga. Ia menggabungkan rekreasi dengan sukan, mengkhususkan beberapa kawasan untuk aktiviti memanjat dan bersukan serta kedai-kedai barangan dan pakaian sukan untuk golongan profesional dan keluarga yang mencari tempat yang sesuai di tengah-tengah Kuala Lumpur untuk bersenam, bergembira atau berehat. JUMPA @ Sungei Wang bukan sahaja memenuhi keperluan membeli-belah, tetapi juga menjadi tempat untuk rakan-rakan dan ahli keluarga merapatkan hubungan sesama mereka.

“Sungei Wang adalah antara pusat membeli-belah yang telah lama bertapak di Malaysia dan telah mengekalkan dan menyegarkan daya penariknya sejak sekian lama dengan pelbagai transformasi. Bagi transformasi terkini ini, kami berbesar hati untuk menawarkan pengalaman baharu kepada para pengunjung Sungei Wang apabila mereka menyusuri keunikan tarikan dunia lama di blok utama sebelum tiba di JUMPA @ Sungei Wang yang moden dan meriah. Ia merupakan lokasi pertemuan yang penuh gaya dan dilengkapi pelbagai penawaran peruncitan dan konsep unik yang dirancang dengan teliti. Kami gembira kerana JUMPA telah mendapat respons yang positif dari para penyewa dan sehingga kini telah mencapai lebih daripada 85% kadar komitmen penyewaan. Lebih banyak jenama akan diumumkan tidak lama lagi, termasuk satu penyewa utama yang baru memasuki pasaran Malaysia,” kata Lawrence Teh Cheng Poh, Pengurus Am, Pengurusan Pusat Membeli-Belah CapitaLand Malaysia Mall REIT Management Sdn. Bhd. (CMRM). CMRM adalah pengurus CapitaLand Malaysia Mall Trust (CMMT)[1], sebuah amanah pelaburan hartanah yang memfokus kepada pusat membeli-belah.

Dalam tempoh 16 bulan sebelum ini, JUMPA @ Sungei Wang telah melalui transformasi yang melibatkan kos sebanyak RM54.5 juta untuk mengubah ruang penyewa utama sebelum ini menjadi kedai-kedai khusus, dan memberi wajah baharu kepada muka hadapan dan rekaan dalaman blok tambahan tersebut. Projek ubah suai ini telah dimulakan oleh CMMT sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menghidupkan semula dan meningkatkan daya penarik Sungei Wang.

Menampilkan muka hadapan baharu bertona emas yang amat menyerlah, JUMPA @ Sungei Wang menampilkan lebih daripada 100 buah kedai dalam blok enam tingkat, dengan ruang pasar Little Asia baharu yang menimbulkan unsur warisan dengan jubin bercetak gaya Peranakan dan ruang-ruang terbuka. Urban Street pula menawarkan pelbagai fesyen dan aksesori edisi terhad yang dikhususkan untuk golongan muda dan bergaya. JUMPA @ Sungei Wang dilengkapi tujuh set eskalator baharu dan menawarkan kebolehlihatan yang lebih baik antara tingkat dengan adanya ruang-ruang lowong (void space). Konfigurasi ruangnya melancarkan pergerakan manakala kelengkapan yang diperbaharui mewujudkan suasana yang selesa untuk para pengunjung meluangkan masa di sini.

Para peminat sukan pasti gembira kerana JUMPA @ Sungei Wang menawarkan pelbagai jenama seperti Anta, Skechers, Puma dan Outside, jenama aktiviti luar dan gaya hidup – sebuah kedai sehenti untuk para peminat sukan aktif. Pengusaha fesyen dalam talian seperti Love, Bonito dan Boundlezz adalah antara cawangan-cawangan fesyen yang ada di sini manakala antara jenama-jenama F&B di sini termasuklah Restaurant Yi Poh dan SRK Noodle House yang menawarkan hidangan Cina tempatan. Antara penyewa utama JUMPA @ Sungei Wang ialah Camp5, gimnasium sukan memanjat dalam bangunan terulung di Asia dan MinNature, pameran miniatur cetakan 3D yang terbesar di Malaysia. Penyewa-penyewa utama ini dijangka akan mula beroperasi pada bulan Disember 2019.

Elise Lim, Pengurus Pusat Sungei Wang[2] menambah, “Dalam usaha kami memberi kelainan dalam pengalaman membeli-belah di Sungei Wang, para pengunjung akan menemukan pelbagai barangan kreatif dan aktiviti yang boleh dicuba sendiri melalui bengkel-bengkel di Main Creative Hub di JUMPA yang dianjurkan oleh Main-main. Ini merupakan usaha sama dengan Main-main di mana kami memberi sokongan kepada sekumpulan usahawan untuk mempamerkan hasil kerja mereka di JUMPA. Untuk meraikan pembukaan JUMPA @ Sungei Wang bersama para pengunjung, kami telah merancang satu siri acara dan aktiviti pemasaran pada bulan Oktober 2019 nanti. Kami juga akan mengadakan kempen Beli dan Menang dengan hadiah-hadiah bernilai RM25,000 untuk dimenangi.”

Sempena pembukaan JUMPA @ Sungei Wang, pusat membeli-belah ini akan mengadakan Kempen JUMPA untuk Menang dari 25 September hingga 20 Oktober 2019 di mana para pengunjung boleh memenangi emas 916 Poh Kong setiap hari. Hadiah-hadiah cabutan bertuah juga terdiri daripada set-set barang kemas Miss Petite Poh Kong serta pas-pas untuk sesi memanjat dan multigym di Camp5. Para pengunjung juga boleh menggunakan kod promosi GRAB2JUMPA untuk menebus RM5 bagi tambang Grab pergi dan balik dari JUMPA @ Sungei Wang sepanjang tempoh promosi tersebut.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi-promosi terkini di JUMPA @ Sungei Wang, layari www.capitaland.com/sites/jumpa/index.html atau ikuti perbualan mengenai  #JUMPAsoon di:  


[1] CMMT memiliki portfolio pelbagai yang terdiri daripada lima pusat membeli-belah dan sebuah blok pejabat yang iaitu Gurney Plaza di Pulau Pinang; kepentingan majoriti dalam Sungei Wang di Kuala Lumpur, 3 Damansara dan Menara Pejabat Tropicana City di Petaling Jaya, The Mines di Seri Kembangan dan East Coast Mall di Kuantan.  

[2] Kepentingan CMMT dalam Sungei Wang terdiri daripada (i) 205 petak strata di dalam pusat membeli-belah tersebut yang mewakili kira-kira 61.9% agregat kawasan peruncitan di Sungei Wang, dan (ii) 100.0% petak letak kereta di Sungei Wang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *