Jualan Proton melebihi 100,000 unit untuk 2023

Jualan Proton melebihi 100,000 unit untuk 2023

JUALAN Proton Holdings Bhd (Proton) melepasi 100,000 unit, dengan 13,955 unit dicatatkan pada Ogos 2023, menjadikan jumlah jualan sejak awal tahun sehingga kini (YTD) kepada 104,602 unit.

Jumlah itu (104,602 unit), menyaksikan peningkatan 19.6 peratus atau 17,121 unit berbanding jumlah dicatatkan untuk lapan bulan pertama tahun lepas, kata syarikat pengeluar kereta nasional itu.

“Dengan jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 74,200 unit, pegangan pasaran Proton diunjur pada 18.8 peratus untuk bulan Ogos, dengan angka pegangan pasaran YTD sebanyak 20.8 peratus.

“Pertumbuhan volum syarikat bagaimanapun kekal mendahului TIV, yang kini dianggarkan sebanyak 12.2 peratus untuk 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pertumbuhan jualan syarikat boleh dikaitkan kepada usaha syarikat berkenaan menumpukan perhatian untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi serta pengalaman premium yang diberikan oleh 154 pengedar 3S/4S dalam rangkaiannya yang telah memberikan kesan positif kepada pelanggan.

“Pada masa hadapan, usaha ke arah produk dan perkhidmatan yang lebih baik ini akan diteruskan. Ia dirangsangkan lagi oleh pengumuman baru-baru ini iaitu Proton Test Labs menerima akreditasi ISO 17025 serta kemasukan syarikat ke dalam ruang kenderaan elektrik (EV) dengan smart Malaysia,” katanya.

Proton berkata, Proton Saga adalah model paling laris pada bulan Ogos, mencapai angka bulanan tertinggi bagi tahun 2023 dengan 6,585 unit dijual, menempatkannya di tempat kedua jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia untuk bulan ketiga berturut-turut.

“Bagi lapan bulan pertama, sebanyak 45,836 unit telah diserahkan, meningkat 34.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022,” katanya.

Menurutnya, edisi terbaru Proton X90 mendahului jualan bulanan dan YTD untuk kenderaan utiliti sukar (SUV) segmen-D dengan jualan 719 unit pada bulan Ogos dan jumlah terkumpul sebanyak 2,944 unit setakat ini, walaupun hanya tiga bulan penuh sejak permulaan jualannya. – Bernama

Sumber