Jennifer dilantik CFO baharu Maxis

Jennifer dilantik CFO baharu Maxis

JENNIFER Wong telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) baharu Maxis berkuat kuasa 3 Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, Jennifer mengambil alih peranan Ketua Pegawai Kewangan dan Strategi Maxis, Wayne Treeby yang bakal tamat kontrak hujung September ini.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Jennifer dan berharap beliau dapat berkembang dan menjadi sebahagian daripada keluarga Maxis.

“Kami yakin bahawa pengalaman industri yang luas amat berharga untuk perniagaan dan mencapai cita-cita kami. Bagi pihak Maxis, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Wayne atas sumbangannya kepada syarikat dan kami mengucapkan selamat maju jaya dalam usahanya kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Wayne telah bersama Maxis selama empat setengah tahun dan memainkan peranan penting dalam kejayaan pengurusan kewangan Maxis, perancangan strategik, dan pembangunan serta penyampaian visi kepimpinan penyelesaian konvergen kami.

Beliau berkata, Jennifer sebelum ini berkhidmat di Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan telah memegang pelbagai jawatan kanan dalam tempoh lebih 14 tahun sebelum menjadi CFO.

“Beliau membawa pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam perakaunan, pengawalan, pengurusan kewangan dan operasi, serta perancangan dan analisis perniagaan.

“Jennifer juga merupakan graduan Program Pengurusan Lanjutan Harvard Business School, serta Program Pengurusan Am dan Inovasi Insead selain ahli Institut Akauntan Malaysia (Malaysia) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.

“Jennifer telah memulakan kerjayanya sebagai seorang akauntan di Arthur Andersen, dan kemudiannya Ernst & Young dan PWC, di mana beliau memberi nasihat transaksi M&A, mengetuai semakan usaha wajar kewangan untuk latihan korporat dan Tawaran Awam Permulaan di United Kingdom, Malaysia dan Hong Kong,” katanya.

Sumber