Hubungan Malaysia-UAE di landasan betul

Hubungan Malaysia-UAE di landasan betul

HUBUNGAN perdagangan dua hala di antara Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini berada di landasan pertumbuhan yang betul, dengan lebih banyak bidang dan peluang untuk diteroka oleh kedua-dua negara dalam melangkah maju, menurut pandangan pakar ekonomi.

Profesor ekonomi di Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, UAE ialah antara 20 destinasi eksport utama Malaysia selain menjadi antara pasaran yang paling pesat berkembang untuk eksport Malaysia, apabila berkembang 43 peratus pada 2022.

Beliau berkata justeru, terdapat potensi kukuh untuk melonjakkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, dengan Malaysia boleh memanfaatkan pasaran Timur Tengah melalui UAE dan demikian juga UAE boleh meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di ASEAN melalui Malaysia.

“Memandangkan ekonomi maju menghadapi cabaran dalam mengekalkan pertumbuhan, negara yang bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia perlu mempelbagaikan pasaran eksportnya untuk mengimbangi permintaan pasaran maju yang semakin lemah.

“Perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan negara-negara di Asia telah sedia berkembang. Oleh itu, memperluas tumpuan ke rantau lain termasuk negara Timur Tengah akan menjadi peluasan semula jadi bagi pempelbagaian pasaran eksport,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, beliau mendapati eksport Malaysia ke UAE terlalu kecil.

“Data terbaru pada April 2023 menunjukkan eksport ke UAE berjumlah 1.0 peratus. Jadi jelas, terdapat lebih banyak ruang untuk kerjasama seterusnya.

“Saya juga mendapati kebanyakan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) telah melaksanakan banyak usaha untuk mempelbagaikan ekonomi mereka daripada industri bahan api fosil semata-mata. Oleh itu, amat wajar untuk bekerjasama dengan UAE dalam sebarang pembangunan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Pada Februari, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan UAE, melalui perbualan telefon, telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan dan tenaga.

Sementara itu, Kim Leng berkata, selain sektor makanan halal dengan kedua-dua negara boleh menggalakkan pelaburan yang boleh melonjakkan pengeluaran makanan dan meningkatkan jaminan makanan setiap negara, tenaga boleh baharu dan pelaburan hijau juga menjadi bidang yang berpotensi untuk diteroka demi manfaat bersama.

Mengulas mengenai jaminan makanan, beliau berpandangan bahawa rasional untuk menggalakkan pelaburan dalam pengeluaran makanan adalah untuk memastikan bekalan makanan jangka masa panjang dan mempertingkatkan jaminan makanan bagi kedua-dua negara.

“Malaysia akan mendapat manfaat daripada peranannya sebagai hab pengeluaran dan eksport memandangkan negara ini boleh memanfaatkan sumber tanah pertanian dan kelebihan iklim pertumbuhan tanaman.

“Selain itu, akan wujud lebih banyak faedah pembangunan jika pelaburan modal disalurkan kepada pertanian pintar yang memanfaatkan kuasa teknologi digital,” katanya.

Semasa lawatan rasmi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke UAE pada 2022, Putrajaya secara rasmi menjemput UAE untuk meneroka peluang dalam pembangunan projek Bandar Malaysia yang telah diteliti semula dengan menyediakan pakej untuk lebih ramai pelabur mengambil bahagian.

Ismail Sabri juga menyatakan minat syarikat Malaysia untuk bekerjasama dengan firma UAE dalam industri petroleum, termasuk dalam sektor huluan dan gas asli cecair, tenaga boleh baharu, baja dan karbon dioksida.

Kim Leng berkata, penyertaan syarikat UAE dalam projek Bandar Malaysia akan menjadi pemangkin dalam mengukuhkan keyakinan pelabur di samping menarik pelabur Timur Tengah lain bukan sahaja dalam pembangunan bandar malah juga aktiviti ekonomi seperti kewangan Islam, pelancongan dan logistik.

Mengenai sektor minyak dan gas, beliau berkata, UAE menyumbang 6.0 peratus kepada jumlah import bahan api Malaysia manakala eksport ke UAE membentuk kira-kira 1.0 peratus daripada jumlah eksport bahan api Malaysia pada 2022.

Beliau berkata, bahagian yang agak kecil itu menunjukkan ruang untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam industri minyak dan gas masing-masing, termasuk cari gali dan pengeluaran di negara Teluk yang kaya dengan minyak itu.

Kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan dua hala pada awal 1970-an, diikuti dengan pembukaan misi diplomatik Malaysia di Abu Dhabi pada 1983 dan Kedutaan UAE di Kuala Lumpur pada 1995. – Bernama

Sumber