Hospital Pantai Cheras labur RM1 juta untuk pusat dialisis

Hospital Pantai Cheras labur RM1 juta untuk pusat dialisis

HOSPITAL Pantai Cheras melabur sebanyak RM1 juta bagi mewujudkan sebuah pusat dialisis bagi memenuhi permintaan komuniti setempat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rachel Yew berkata, sebanyak enam unit hemodialisis baharu telah ditempatkan di hospital berkenaan tahun ini.

Menurutnya, unit baharu berkenaan mampu memberikan perkhidmatan dialisis kepada pesakit buah pinggang kronik (CKD).

“Rawatan menggunakan mesin dialisis terbaharu ini selamat untuk membersihkan darah dan membuang bahan buangan seperti kalium dan urea serta lebihan air daripada darah.

“Setiap pesakit dialisis akan menerima perkhidmatan tambahan yang merangkumi pengurusan anemia serta pemantauan cecair dan pemakanan,” katanya pada majlis perasmian Pusat Dialisis Hospital Pantai Cheras di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Pakar Perunding Nefrologi, Dr. Ong Chun Seong.

Jelas Rachel, dengan ada unit baharu ini sesi rawatan dialisis tawaran istimewa akan diberikan kepada 50 pelanggan pertama, diskaun 50 peratus untuk sesi dialisis kedua dan percuma untuk sesi dialisis ketiga untuk perkhidmatan dialisis pesakit luar.

“Setiap pesakit akan menerima khidmat nasihat pakar diet untuk memastikan mereka mendapat pemakanan yang betul.

Tambahnya lagi, kini nisbah 1 daripada 7 rakyat Malaysia mengalami penyakit buah pinggang kronik (CKD).

“Pada tahun 2018, seramai 8,341 pesakit memerlukan rawatan dialisis, tetapi dalam tempoh kurang daripada setahun jumlahnya meningkat kepada 44,136 pesakit.

“Malah menjelang 2040, bilangan pesakit memerlukan dialisis dijangka akan mencecah 106,000 orang,” ujarnya

Sementara itu Pakar Perunding Nefrologi Dr. Ong Chun Seong berkata, terdapat dua sesi rawatan dalam sehari melibatkan 12 pesakit.

“Setiap sesi akan mengambil masa empat jam dan pesakit akan menjalani rawatan tiga kali seminggu,” katanya.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berharap agar mereka yang berisiko supaya membuat pemeriksaan kesihatan awal bagi mengesan sebarang penyakit.

“Pengesanan awal penyakit buah pinggang boleh mencegah ianya dari menjadi teruk dan kritikal,” katanya.

Sumber