Hong Leong Bank akan terus kecualikan fi transaksi DuitNow QR

Hong Leong Bank akan terus kecualikan fi transaksi DuitNow QR

HONG Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB) akan meneruskan pengecualian fi dan caj transaksi kepada semua peniaga yang menerima pembayaran menerusi DuitNow QR sehingga diberitahu kemudian.

Menurut bank itu, langkah berkenaan adalah antara komitmen yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

“Pengecualian fi dan caj transaksi ini meliputi transaksi DuitNow QR dengan pembayaran yang dilakukan menerusi akaun semasa dan simpanan, e-dompet dan kad kredit.

“Selain itu, HLB juga tidak mengenakan sebarang fi terhadap penyelenggaraan perkhidmatan, bahan tempat jualan dan pengintegrasian antara muka pengaturcaraan aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan perbankan itu berkata, pihaknya yakin langkah mengecualikan fi ini akan menggalakkan lebih banyak perniagaan untuk menggunakan penyelesaian pembayaran digital yang kemudiannya akan mendorong landskap perniagaan lebih berdaya tahan dan berdaya saing. – Bernama

Sumber