HDC, Sri Nona pacu industri halal

HDC, Sri Nona pacu industri halal

HALAL Development Corporation Berhad (HDC) dan Sri Nona Food Industries Sdn Bhd (Sri Nona), anak syarikat Fraser & Neave Holdings Berhad menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk bekerjasama dalam memacu prestasi industri halal Malaysia.

MoA itu merangkumi kerjasama antara HDC dan Sri Nona di bawah Program Perkongsian Penyumberan Home-grown Halal Champion (HSPP) yang bertujuan untuk mengenal pasti syarikat berprestasi tinggi yang berpotensi sebagai vendor Sri Nona.

Majlis pertukaran MoA disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari dan Pengarah Eksekutif Sri Nona dan Pengarah Penglibatan Kerajaan dan Industri & Halal, Fraser & Neave Holdings Berhad, Datuk Raffiq Md Ariff di Kuala Lumpur pada Khamis.

Hairol Ariffein berkata, kerjasama itu dijangka merangsang ekosistem perniagaan khususnya dalam pembangunan industri halal Malaysia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“MoA ini mengukuhkan lagi kejayaan kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri swasta untuk meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pusat pembangunan ekosistem halal.

“Melalui kerjasama ini, PKS akan berpeluang menjadi vendor Sri Nona dan berpotensi menerima kemudahan melalui HSPP,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, HSPP ialah program pemudah cara HDC yang dibangunkan untuk menggalakkan PKS berpotensi tinggi dalam sektor halal untuk mengembangkan perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Melalui usaha kerjasama dengan syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan, PKS itu akan dipupuk dan dipermudahkan untuk menjadi pembekal dan seterusnya menjadi syarikat Halal Home Grown Champion di bawah HSPP,” katanya.

Beliau berkata, HDC dan syarikat besar tempatan seperti Fraser & Neave Holdings Berhad telah bekerjasama untuk memupuk persekitaran yang kondusif untuk keselamatan makanan halal yang mampan.

“Halal adalah penanda aras bagi produk berkualiti dan keselamatan selain daripada melindungi generasi akan datang melalui persekitaran dan sumber semula jadi yang tidak dieksploitasi termasuk dalam kalangan PKS,” katanya.

Beliau berkata, melalui kerjasama itu, PKS juga didedahkan kepada kepentingan menetapkan strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai sebahagian daripada operasi perniagaan mereka dengan menjadi sebahagian daripada syarikat multinasional dan besar seperti Sri Nona dan Fraser & Neave.

“Dengan peralihan tumpuan yang jelas ke arah pelaburan dalam perniagaan berteraskan ESG, PKS mesti menyedari bahawa ESG bukan lagi pilihan.

“Ini bermakna jika PKS tidak memilih untuk menyesuaikan diri, mereka mungkin kehilangan bahagian pasaran atau peluang perniagaan pada masa hadapan,” kata Hairol Ariffein.

Sejak HDC dan Sri Nona memulakan kerjasama itu, hampir 50 syarikat telah disenarai pendek ke program ‘pitching’ yang mana syarikat-syarikat ini mempersembahkan produk mereka.

Setelah diambil sebagai vendor, PKS terpilih dianggarkan meningkatkan potensi jualan dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus.

Sumber