Harga saham jatuh, kedudukan kewangan Top Glove masih kukuh

Harga saham jatuh, kedudukan kewangan Top Glove masih kukuh

PAKAR ekonomi berpandangan kedudukan kewangan Top Glove masih kukuh meskipun harga semasa saham syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu dinilai pada harga 83 sen.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UITM), Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, secara asasnya nilai yang dicatatkan itu berada pada paras terendah dalam tempoh 10 tahun susulan ketidakseimbangan bekalan dan faktor permintaan semasa.

“Top Glove Bhd telah untung selama 10 tahun. Sepanjang 12 bulan lalu, syarikat memperoleh hasil sebanyak RM3.6 bilion dan pendapatan RM0.792 sesaham. Margin operasinya ialah 58.18 peratus yang mempunyai kedudukan lebih baik daripada 99 peratus syarikat dalam industri peranti dan instrumen perubatan.

“Secara keseluruhan, keuntungan Top Glove berada di kedudukan kelapan daripada 10, menunjukkan keuntungan yang teguh.

“Kedudukan kewangan syarikat kukuh dan kedudukan pertumbuhannya lebih baik daripada 91 peratus syarikat dalam industri peranti dan instrumen perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu beliau berkata, keyakinan terhadap kedudukan kewangan syarikat itu turut didorong oleh faktor banyak syarikat sarung tangan yang bersaiz lebih kecil tidak mampu bertahan berikutan aliran permintaan yang menurun sejak kebelakangan ini.

“Top Glove ialah pemain terbaik dunia dalam industri dan syarikat itu dijangka mendapat manfaat paling banyak selepas syarikat sarung tangan yang lebih kecil ini keluar daripada industri sarung tangan.

“Kelemahan ringgit baru-baru ini sekitar 10 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu telah memanfaatkan Top Glove kerana semua produk mereka dieksport dalam dolar Amerika Syarikat (AS),” jelas beliau.

Tambahnya, Top Glove juga tidak melancarkan sebarang projek pembesaran mega pada tahun kewangan 2020 ketika harga sarung tangan tinggi.

Strategi ini katanya, telah membolehkan syarikat itu mengelakkan perbelanjaan modal (capex) yang tidak perlu dan mengekalkan kos pada tahap minimum ketika tempoh sukar.

MIDF Amanah Investment bank Berhad Reseach (MIDF Research) baru-baru ini menyatakan bahawa peralihan ekonomi global ke tahap endemik telah menyebabkan Top Glove mengalami tempoh peralihan akibat ketidakseimbangan bekalan dan permintaan.

Sumber