Gejala rokok seludup kekal tinggi pada 55.3 peratus, kerajaan rugi RM5 bilion

Gejala rokok seludup kekal tinggi pada 55.3 peratus, kerajaan rugi RM5 bilion

GEJALA rokok seludup di Malaysia kekal di paras tinggi iaitu sebanyak 55.3 peratus berdasarkan Kajian Rokok Seludup (ICS) yang diterbitkan pada Mei 2023.

Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) yang melaksanakan kajian tersebut berkata, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 2022 yang mencatatkan sebanyak 56.6 peratus.

Bagaimanapun, menurut CMTM, meskipun menunjukkan penurunan, peratusan itu masih dianggap sangat tinggi mengikut kepada piawaian antarabangsa.

“Ini kerana rokok seludup dijual dengan harga murah antara RM4 hingga RM8 sekotak, berbanding kategori sah yang paling rendah pada harga RM12 disebabkan kos cukai hampir RM9 sekotak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, perkara tersebut menyebabkan kerajaan kehilangan kira-kira RM5 bilion setiap tahun daripada segi cukai tidak dikutip.

“CMTM gembira dengan penurunan tersebut dan percaya bahawa langkah anti-rokok seludup yang diperkenalkan termasuk kawalan ketat ke atas pemindahan produk tembakau dan peningkatan usaha penguatkuasaan terhadap rokok seludup membuahkan hasil yang positif.

“Di Kelantan, kejadian penyeludupan telah menurun ke paras 50.2 peratus berbanding 70.6 peratus pada 2020 berikutan tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi di negeri itu. Adalah penting bahawa inisiatif ini mesti diteruskan dan dikekalkan,” kata kenyataan itu.

CMTM juga menggesa kerajaan untuk terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penyeludupan pantai yang berleluasa khususnya di wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jeas kenyataan itu, ia memandangkan sindiket jenayah kini mengambil kesempatan ke atas sempadan yang luas untuk menyeludup produk secara haram ke negara ini.

Tambah CMTM, laporan ICS 2023 itu turut melaporkan peningkatan ketara kewujudan kotak rokok dengan setem cukai palsu dalam pasaran iaitu kepada 8.5 peratus daripada 4.9 peratus pada tahun 2018.

Menurut CMTM, pada masa ini terdapat lebih daripada 20 jenama pek rokok dengan setem cukai palsu di Malaysia dan ia dijangka meningkat jika isu tersebut dibiarkan tanpa ditangani sewajarnya.

“Adalah penting bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan segera terhadap penyangak import yang terlibat dalam produk setem cukai palsu,” kata CMTM.

CMTM juga mengalu-alukan program ganjaran 10 peratus yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada mana-mana individu yang memberikan maklumat tepat mengenai barangan yang dikategorikan lari cukai berserta pelakunya.

Jelas kenyataan itu, program tersebut tepat pada masanya dan akan menggalakkan lagi perkongsian risikan, serta membawa kepada tindakan penguatkuasaan yang memberi kesan.

“Malah, CMTM menyarankan agar program ini tidak terhad kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia sahaja kerana ia adalah sama penting untuk memasukkan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kementerian Kesihatan dan lain-lain dalam program tersebut,” kata kenyataan itu.

CMTM juga mengesyorkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang ditugaskan untuk mengkaji semula Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 merangkumi cadangan dasar Penamat Generasi Rokok GEG, melaksanakan penilaian yang komprehensif.

“Ini adalah untuk memastikan dasar dibuat berdasarkan bukti berasaskan sains yang kukuh, menghalang sebarang kemungkinan penyeludup mengaut keuntungan di negara ini dan merencatkan langkah-langkah positif yang dilaksanakan itu,” kata kenyataan itu.

Sumber