Fullmoon Pictures melancarkan francais media ‘ THE SUMMIT-97’ bernilai RM150 juta

Fullmoon Pictures melancarkan francais media ‘ THE SUMMIT-97’ bernilai RM150 juta

Officiation Ceremony of “The Summit-97”

KUALA LUMPUR, 17 Februari 2022 – Syarikat penerbitan filem tempatan – Fullmoon Pictures (M) Sdn. Bhd. (Fullmoon Pictures) menyambut ulangtahun ke-25 kejayaan Malaysia menawan puncak Gunung Everest pada tahun 1997. Bersempena dengan sambutan ini, Fullmoon Pictures juga melancarkan francais media bernilai RM150 juta di bawah kempen ”The SUMMIT-97” dengan kehadiran Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ybrs. Tuan Zakaria Abdul Hamid beserta beberapa kenamaan yang lain termasuk Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta dari beberapa buah negara.

Beroperasi sejak empat tahun yang lalu, Fullmoon Pictures yang tersentuh dengan kisah-kisah para pendaki tempatan, berhasrat untuk memaparkan kisah perjalanan mereka yang penuh cabaran mengharungi iklim dan bentuk muka bumi yang mengancam nyawa, untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Dengan itu, Fullmoon Pictures telah memulakan misi mereka untuk meningkatkan kesedaran awam tentang peristiwa bersejarah ini dan memberi makna untuk rakyat berbangga dengan negara kita.

Dengan itu, kempen “The SUMMIT-97” telah ditubuhkan untuk membolehkan para penonton merasai pahit getir dan cabaran yang ditempuh melalui penerbitan – filem-filem animasi, dokumentari, buku-buku, muzik latar asli, filem-filem, rakaman di sebalik tabir dan aplikasi permainan. Kos RM100 juta telah diperuntukkan untuk menghasilkan filem yang berjudul “PEAK OF HEAVEN”, yang menglibatkan selebriti-selebriti antarabangsa seperti A. R. Rahman, Guy Sebastian, Henry Golding, Phedon Papamichael dan ramai lagi, menjadikan filem ini bertaraf antarabangsa sesuai untuk tayangan global.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Fullmoon Pictures, Izzat Hazim

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Fullmoon Pictures, Izzat Hazim berkata, “Ekpedisi Gunung Everest pada tahun 1997 amat merbahaya dan mencabar. Kami hanya memahami pahit getir mereka semasa kami mengkaji mengenai kisah tersebut, termasuk temubual, artikel dan dokumentari. Ianya telah benar-benar membuka mata kami. Konsep mendaki gunung tertinggi dunia sambil mengharungi iklim yang mencabar hanyalah sekilas dari peristiwa ini. Tidak ramai yang mengetahui keseluruhan proses latihan, kos di sebaliknya, persedian mental dan tahap usahasama yang terlibat dalam keseluruhan perjalanan.”

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker pula berkata, “Saya ingin menegaskan kepentingan kempen ”The SUMMIT-97” ini. Ianya kisah yang bernilai bukan sahaja kepada para atlit, tetapi kepada setiap individu dalam kehidupan seharian mereka. Ianya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Saya percaya, ramai rakyat Malaysia mempunyai kebolehan kesukanan yang belum dipersembahkan ke peringkat dunia.”

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Tuan Zakaria Abdul Hamid berkata, ”Fullmoon Pictures membawa mesej yang penting, iaitu sentiasa mengejar kejayaan bertaraf antarabangsa dan kekal fokus kepada matlamat asal. Seperti mana mereka menetapkan rekod Guinness World Records melalui filem mereka – PEAK OF HEAVEN, Filem Teknologi Pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknik rakaman STAGECRAFT (The Volume).”

Majlis ini dijayakan dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), penaja rasmi lokasi majlis ini.