FIT FOR ACTION MELABUH TIRAI DENGAN KEMENANGAN BERSAMA MUAZ DAN RADEN!

FIT FOR ACTION MELABUH TIRAI DENGAN KEMENANGAN BERSAMA MUAZ DAN RADEN!

Petaling Jaya, 12 Oktober 2022 –  Pada 9 Oktober 2022, FIT FOR ACTION, yang disiarkan mulai jam 9 malam. hingga 10 malam di TV3 dan strim langsung dalam HD di www.tonton.com.my, ditutup selepas enam minggu berlakon dan mempelajari kemahiran lakonan.

FIT FOR ACTION, program pertandingan realiti baharu yang berkonsepkan cabaran lakon – layar dan fizikal untuk mencari pelakon lelaki dan pelakon wanita versatil Malaysia telah mengumumkan Muaz dan Raden sebagai juara manakala Marc Syammie dan Lisa sebagai naib juara.

Juara FIT FOR ACTION telah memenangi kontrak tawaran berlakon di saluran Media Prima beserta trofi. Naib juara juga membawa pulang trofi.

Sepanjang dua bulan, tunjuk ajar daripada pengarah terkemuka iaitu Datuk Yusof Haslam, Aziz.M.Osman, Heykal Hanifah dan Ellie Suriaty telah melengkapkan 12 peserta untuk melebarkan sayap mereka ke industri seni lakonan. Para peserta juga diuji dengan cabaran fizikal oleh Nana Al Khaled. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk menimba ilmu dan berkongsi  pengalaman berlakon di samping pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Sharifah Rose dan Gambit Saifullah.

Juara bersama FIT FOR ACTION, Muaz 25 tahun berasal di Selangor menyatakan bahawa kejayaan ini adalah sesuatu yang tak diduga kerana beliau tidak mempunyai apa-apa pengalaman berlakon sebelum ini. Tambahan pula, beliau hampir tidak dapat teruskan dengan peringkat kedua uji bakat FIT FOR ACTION (call casting) kerana perlu menjalani kuarantin setelah menjadi kontak rapat Covid-19. Mujurlah ia hanya untuk jangka masa yang singkat, peluang untuk meneruskan call casting tidak dilepaskan begitu sahaja oleh Muaz. Terbukti usaha ini berbaloi dengan kejayaan tidak duga sebagai juara akhirnya.

Raden Zaharatul atau lebih mesra dengan panggilan Raden iaitu juara bersama FIT FOR ACTION sudah ada pengalaman dalam lakonan sebagai pelakon tambahan. Apa yang diinginkan oleh Raden dalam menyertai FIT FOR ACTION adalah untuk mengasah bakat dan mendapat tunjuk ajar dari penggiat seni berpengalaman dan telah berjaya. Dengan kejayaan yang beliau perolehi dalam FIT FOR ACTION, beliau amatlah berharap untuk berpeluang menjadi pelakon utama pada masa hadapan.

Jika kerjaya sebagai seorang pelakon menjadi perjalanan hidupnya yang akan datang, Raden menyatakan bahawa beliau bersedia dan siap dari segi mental untuk berdepan dengan kontroversi atau kecaman sebagai seorang anak seni. Menurut Raden, “Perkara ini adalah benda yang tidak boleh kawal. Apa yang kita boleh kawal adalah kita diri sendiri, kita nak buat baik atau jahat itu terletak pada diri sendiri.” Bagi Muaz pula, “Kecaman dan kontroversi tidak boleh halang, tapi kita boleh elak. Kita boleh pastikan kita tak buat kesilapan yang boleh dielak.”

Sepanjang penyertaan Muaz dan Raden dalam FIT FOR ACTION dari minggu pertama sehingga minggu akhir, terlalu banyak saat atau momen yang menjadi ingatan sama ada yang menggembirakan atau yang menyedihkan. Bagi Muaz, penyingkiran pada awal FIT FOR ACTION dan perlu meninggalkan peserta yang lain adalah sesuatu yang amat mengecewakan dan menjadi momen yang sedih untuk beliau. Namun momen memperolehi kemasukan melalui “wild card” kembali menghidupkan peluang Muaz dalam pertandingan ini. Begitu juga dengan Raden yang turut terkesan dengan penyingkiran beliau di episod 4 dan kemasukan semula melalui “wild card”. Raden akan sentiasa mengingati momen-momen pada setiap minggu FFA terutamanya saat penyingkiran di setiap pusingan.

FIT FOR ACTION dicergaskan lagi dengan Dutch Lady sebagai penaja bersama dan Centrum sebagai rakan penaja. Program realiti ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Hot FM sebagai rakan radio rasmi, serta Xtra dan Oh Bulan! sebagai rakan digital.  

Ribuan terima kasih ke atas sokongan yang diberikan ke atas rancangan FIT FOR ACTION. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.