Eksport minyak, produk sawit ke China dijangka melonjak

Eksport minyak, produk sawit ke China dijangka melonjak

EKSPORT minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke China dijangka lebih tinggi tahun ini hasil peningkatan kerjasama dalam perdagangan minyak sawit Malaysia-China.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kejayaan itu terhasil menerusi perjanjian persefahaman (MoU) antara MOPB dan Dewan Perniagaan China bagi Import Eksport Makanan, Produk Asli dan Produk Sampingan Haiwan (CFNA).

“Kami menjangkakan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lebih tinggi ke China tahun ini dengan peningkatan kerjasama dalam perdagangan minyak sawit dengan negara itu melalui pemeteraian MoU tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, MPOB berjaya meluaskan penggunaan minyak sawit dalam industri makanan nilai tambah melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan ini membantu menjamin pasaran minyak sawit Malaysia.

“Ini termasuk lemak khusus berasaskan sawit untuk kuih bulan kontemporari, penggunaan minyak sawit dalam Xinjiang Naan, snek berasaskan minyak sawit merah, tablet susu berasaskan sawit, teh mentega Tibet berasaskan sawit, pes pedas berasaskan minyak sawit merah (red palm oil-based hot pot paste), serbuk lemak sawit sebagai bahan tambahan makanan untuk lembu tenusu dan minyak sawit merah sebagai makanan untuk ketam bulu.

“Kerjasama itu juga membolehkan China mengambil bahagian dalam penerokaan teknologi mekanisasi sawit di Malaysia yang akan membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja di ladang,” kata beliau.

Tambahnya, kedua-dua negara kini boleh bersama-sama mempromosikan penerokaan, mereka bentuk dan melaksanakan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), rangkaian mudah alih generasi kelima (5G), internet pelbagai benda dan kenderaan autonomi di ladang sawit di Malaysia.

“Ini termasuk teknologi aeroangkasa, dron dan AI daripada China Great Wall Industry Corporation khususnya mengenai pemetaan profil umur dan pengesanan penyakit di ladang sawit serta kenderaan penuaian autonomi yang dibangunkan oleh Shanghai Westwell Information Technology Co.Ltd,” ujarnya.

Difahamkan, perjanjian persefahaman tersebut meningkatkan keyakinan China terhadap minyak sawit Malaysia dan menjamin bekalan komoditi itu untuk negara tersebut.

“Malaysia dan China kini boleh bekerjasama untuk bersama-sama mempromosikan kestabilan rantaian bekalan minyak sawit di kedua-dua negara serta Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk makanan, bukan makanan, biobahan api dan makanan ternakan di China

“Di samping itu, CFNA akan menggunakan MSPO dalam penggubalan garis panduan di bawah Jawatankuasa Kecil untuk Pertanian Lestari CFNA serta turut mempromosi MSPO pada program-program anjuran mereka,” katanya.

Ahmad Parveez memaklumkan, CFNA juga akan mengetuai delegasi perniagaan dari China untuk menyertai Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2023) yang akan diadakan dari 7 hingga 9 November 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre. Selain itu, minyak sawit Malaysia akan diketengahkan pada Sidang Kemuncak Bijirin dan Minyak Antarabangsa China ke-14 yang dianjurkan oleh CFNA pada Julai 2023.

Jelasnya, MPOB bekerjasama dengan Universiti Tsinghua untuk mempromosi biobahan api sawit Malaysia di China yang melibatkan kajian rintis penggunaan biodiesel sawit Malaysia dalam kenderaan berat China.

Malah katanya, Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Minyak Sawit MPOB (PORTSIM) China juga telah menandatangani perjanjian perundingan dengan Grand Industrial Holdings Co. Ltd. (GIH) China tahun lepas.

“Ini menyaksikan GIH memperoleh perkhidmatan teknikal daripada PORTSIM China melibatkan formulasi produk sawit dari 2021 hingga 2023 yang meningkatkan pengambilan minyak sawit oleh GIH.

“Berikutan penglibatan ini, GIH melalui anak syarikat mereka Grand Oils and Foods (PG) Sdn. Bhd. membawa masuk pelaburan lapangan hijau bernilai RM320 juta dalam sektor minyak sawit Malaysia,” ujarnya.

Sumber