Ekspo Koperasi Malaysia sasar nilai jualan RM700,000

Ekspo Koperasi Malaysia sasar nilai jualan RM700,000

EKSPO Koperasi Malaysia (EKSKOM) yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pemeran Antarabangsa Mines (MIECC) di Seri Kembangan, Selangor menyasarkan nilai jualan RM700,000 sepanjang empat hari penganjurannya.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, EKSKOM yang berlangsung bermula Khamis itu turut menyasarkan RM500,000 nilai jualan dan makanan menerusi Festival Makanan Asia.

“EKSKOM memberi fokus untuk mengukuhkan peranan sektor koperasi sebagai jentera pembangunan ekonomi rakyat bagi meningk taraf hidup masyarakat menerusi keusahawanan koperasi sekali gus dapat menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Menurutnya, tumpuan utama EKSKOM adalah pelbagai program keusahawanan dan perdagangan seperti sesi pemadanan perniagaan, demonstrasi produk, pocket talk, latihan perniagaan dan jaringan dagangan.

“Penganjuran EKSKOM adalah sempena Hari Koperasi Negara menghimpunkan koperasi daripada pelbagai sektor utama ekonomi negara antaranya pemborongan, peruncitan, kewangan, inovasi dan teknologi, pertanian, pelancongan, industri bahan binaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil EKSKOM berkata, pelbagai program menarik dan mesra rakyat turut diatur seperti Jualan Harga Patut yang menawarkan barangan keperluan, pameran produk dan perkhidmatan, persembahan budaya, ceramah agama dan peluang pekerjaan menerusi program Jom Cari Kerja.

“Pada ekspo ini kita tawarkan jualan barangan keperluan antaranya minyak masak polibeg dan gula yang dijual pada harga RM2 sekilogram.

“Barangan yang dijual adalah lebih rendah daripada pasaran dan ia lebih rendah ditawarkan semasa jualan happy hour,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.


Ujarnya, selain jualan dan pameran barangan, EKSKOM turut menyediakan perkhidmatan menerusi agensi-agensi kerajaan seperti pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara yang turut menawarkan perkhidmatan mereka di ekspo ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, EKSKOM turut menawarkan tiga buah motosikal sebagai cabutan utama untuk pengunjung bertuah.

“Banyak hadiah lain yang turut disediakan antaranya barangan elektrik, basikal, voucher penginapan, telefon bimbit dan hamper,” katanya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai mengambil peluang meluangkan masa mengunjungi EKSKOM.

“Datang ramai-ramai, pelbagai program, jualan dan perkhidmatan menarik yang kami sediakan untuk pengunjung,” katanya.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber