Ekspo 2020 Dubai antara usaha ke arah pemulihan ekonomi Malaysia

Ekspo 2020 Dubai antara usaha ke arah pemulihan ekonomi Malaysia

DUBAI – Ekspo 2020 Dubai melabuhkan tirainya pada 31 Mac 2022 selepas berlangsung selama enam bulan sejak 1 Oktober 2021 dan ia dilihat turut memberikan kejayaan kepada negara dalam aspek pelaburan, perdagangan dan peluang perniagaan.

Berdasarkan rekod sehingga 29 Mac sahaja, Malaysia meraih potensi nilai perdagangan, pelaburan dan petunjuk perniagaan berjumlah lebih RM70 bilion secara keseluruhannya bagi 26 program mingguan, mengatasi sasaran yang ditetapkan.

Selain itu, lebih 400 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia diberi peluang untuk melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Ekspo 2020 Dubai, dan ia merupakan ruang buat PMKS itu mengembangkan perniagaan dan meneroka peluang-peluang baharu di luar negara.

Malah, kerajaan menanggung kos yuran penyertaan semua PMKS ini di Ekspo 2020 Dubai dan mereka hanya perlu membayar kos penginapan dan tiket kapal terbang sahaja.

Sejak 2020, Malaysia serta seluruh dunia bergelut dengan masalah ekonomi berikutan pandemik Covid-19, dan kini mula mengorak langkah untuk memulihkan kembali ekonomi dan Ekspo 2020 Dubai yang turut tertangguh selama setahun akibat pandemik itu menjadi antara ruang yang baik ke arah usaha pemulihan tersebut.

Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penyertaan Malaysia dianggap berjaya kerana telah melepasi sasaran yang ditetapkan termasuk daripada jumlah syarikat yang terlibat dengan perjanjian kerjasama dan jumlah nilai kewangan.

Menurut beliau apa yang penting adanya ruang dan potensi untuk usahawan terlibat sama termasuk PMKS yang turut serta pada ekspo kali ini.

“Tujuannya untuk membantu usahawan-usahawan kecil. Mereka gembira dengan peluang yang ada. Ada usahawan akan tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) walaupun ekspo telah berakhir,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, banyak bidang baharu yang boleh diterokai oleh syarikat Malaysia dengan syarikat antarabangsa seperti industri halal dan farmaseutikal.

“Ini merupakan bidang perniagaan baharu yang ditonjolkan Malaysia. Kita fokus kepada industri halal, nilai industri halal lebih daripada trilion ringgit kerana jumlah umat Islam yang besar. Ia bukan hanya untuk orang Islam tetapi juga untuk orang bukan Islam kerana ia berkaitan dengan kesucian makanan,” katanya sewaktu singgah di Ekspo 2020 Dubai dalam penerbangan pulang daripada lawatan rasmi ke Qatar baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penyertaan Malaysia di ekspo itu dengan tema ‘Energising Sustainability’ membuktikan komitmen negara terhadap usaha mengimbangi kemajuan sosioekonomi dan kesannya terhadap alam sekitar.

“Naratif ini dengan jelas mempamerkan kesungguhan Malaysia dalam menangani isu-isu berkaitan perubahan iklim dan tindakan berterusan dalam memulihara hutan sebagai khazanah negara. Keseriusan Malaysia dalam hal ini jelas terbukti menerusi pembinaan Pavilion Karbon Sifar Bersih,” katanya.

Beliau menambah tema Ekspo 2020 Dubai ‘Connecting Minds, Creating the Future’ melambangkan komitmen dan semangat juang yang gigih masyarakat global dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Malaysia tidak terkecuali sebagai antara negara yang diuji dan terkesan dengan pandemik ini. Namun, Malaysia negara yang kuat semangat juangnya dan terus komited memartabatkan nama negara di pentas dunia,” katanya.

Bagi PMKS yang terlibat pula, Ekspo 2020 Dubai membantu mereka untuk mencari ruang dan peluang perniagaan ke peringkat global, sekali gus turut membantu negara dalam proses pemulihan ekonomi.

Pengasas Bersama Kloth Malaysia Sdn Bhd, Nik Suzila Nik Hassan berkata, bantuan kerajaan untuk beliau pada Ekspo 2020 Dubai membolehkan syarikatnya mengetengahkan produk tekstil yang diperbuat daripada botol plastik terpakai.

“Saya dapat berjumpa pemegang kepentingan (stakeholders) dan menyertai padanan perniagaan (business matching). Kerajaan turut membantu saya berjumpa dengan pelabur, rakan niaga dan sekutu berpotensi,” katanya.

Menurutnya, untuk Ekspo 2020 Dubai, syarikatnya turut terlibat menghasilkan 700 helai baju untuk delegasi Malaysia menggunakan 15,000 botol plastik.

Nik Suzila berkata, pihaknya telah terlibat dengan usaha itu sejak 2014 lagi dengan lebih 180,000 botol plastik telah dijadikan pakaian seragam, namun pendedahan di Ekspo 2020 Dubai memberikan mereka pengalaman baharu untuk memperluaskan potensi perniagaan itu.

– Bernama

Sumber