Ekonomi Malaysia dijangka terus sederhana dalam tempoh terdekat

Ekonomi Malaysia dijangka terus sederhana dalam tempoh terdekat

LANDSKAP ekonomi Malaysia dijangka terus sederhana dalam tempoh terdekat berdasarkan data pada bulan Julai dan Ogos, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Jabatan itu berkata, ekonomi Malaysia menunjukkan pertumbuhan sederhana dengan berkembang 4.2 peratus pada separuh pertama 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi itu dipengaruhi oleh pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama dan 2.9 peratus pada suku kedua.

“Jumlah perdagangan pada Julai 2023 merosot 14.4 peratus daripada RM252.8 bilion pada bulan yang sama tahun lalu kepada RM216.4 bilion. Eksport menyusut 13.1 peratus kepada RM116.8 bilion, manakala import menguncup 15.9 peratus kepada RM99.7 bilion.

“Sementara itu, lebihan dagangan meningkat 7.9 peratus dari tahun sebelumnya kepada RM17.1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu sempena Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia.

Pada Ogos 2023, jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan nilai RM213.0 bilion, menguncup 19.8 peratus atau RM52.7 bilion, manakala eksport dan import mencatatkan pertumbuhan negatif dua digit, masing-masing 18.6 peratus dan 21.2 peratus, tahun ke tahun.

Sebaliknya, lebihan dagangan meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus kepada RM17.3 bilion.

Mohd Uzir berkata, melihat keadaan ekonomi negara pada Julai 2023, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pulih semula kepada 0.7 peratus pada Julai 2023, daripada -2.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan kecil pada Julai 2023 disokong oleh pertumbuhan dalam sektor perlombongan (4.2 peratus) dan sektor elektrik (1.5 peratus).

Sementara itu, sektor pembuatan kekal negatif, walaupun pada kadar yang lebih rendah sebanyak 0.2 peratus.

Pada masa yang sama, nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM144 bilion pada Julai 2023, turun bagi bulan kedua berturut-turut, kepada -3.0 peratus tahun ke tahun (y-o-y) daripada -4.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Prestasi itu dipengaruhi oleh kemerosotan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik, mencecah kepada -15.3 peratus pada bulan tersebut.

Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 72.1 peratus daripada jumlah jualan terus menurun sebanyak 7.0 peratus pada Julai 2023 berbanding Jun -7.4 peratus.

“Walau bagaimanapun, prestasi industri berorientasikan dalam negeri kekal cergas, mencapai 9.2 peratus pada Julai 2023 berbanding 6.8 peratus pada Jun 2023, mengurangkan kesan kemerosotan dalam industri berorientasikan eksport,” kata Mohd Uzir. – Bernama

Sumber