Ekonomi Madani: GLC & GLIC akan pacu pelaburan domestik

Ekonomi Madani: GLC & GLIC akan pacu pelaburan domestik

SYARIKAT berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dijangka memacu pelaburan langsung domestik (DDI) dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik, seperti elektrik dan elektronik (E&E), ekonomi digital dan aeroangkasa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kementeriannya berbesar hati kerana DDI akan menjadi salah satu daripada petunjuk prestasi utama (KPI) kerana apa yang memberi keyakinan terhadap dasar pelaburan negara adalah pelabur domestik.

Ekonomi Madani: Rangka Kerja Pemerkasaan Rakyat yang dilancarkan hari ini akan menangani pembaharuan struktur yang diperlukan untuk menghentikan kitaran ekonomi berbahaya negara iaitu kos tinggi, gaji rendah, untung rendah dan nilai kurang kompetitif, beberapa isu ini diburukkan lagi oleh pandemik.

“Kerajaan akan memberi tumpuan untuk menggalakkan kedua-dua DDI dan pelaburan langsung asing (FDI) dalam membangunkan Malaysia sebagai ekonomi terkemuka di Asia dan memastikan wujud limpahan ekonomi yang positif kepada rakyat,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara Citaglobal Bhd dan MASDAR di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Beberapa inisiatif utama yang diumumkan di bawah Ekonomi Madani yang secara langsung di bawah bidang kuasa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ialah penubuhan zon kewangan khas di Johor untuk menarik pelabur global dan pekerja berpengetahuan untuk menetap di Malaysia.

Kedua, peruntukan awal RM100 juta untuk menaik taraf infrastruktur industri sedia ada menjadi lebih hijau (mesra alam) serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur, kawasan sasaran termasuk sektor petrokimia di Kerteh, Terengganu, pusat data di Sedenak, Johor dan industri getah hiliran di Kuala Nerang, Kedah.

Ketiga, Pulau Pinang akan digalakkan untuk bergerak melangkaui pemasangan semikonduktor penyumberan luar dan penyedia perkhidmatan ujian (OSAT) bernilai lebih rendah dan memberi lebih tumpuan kepada industri semikonduktor bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC).

Empat, kerajaan akan memperuntukkan RM1 bilion untuk membiayai, memupuk dan mengantarabangsakan syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk merangsang pertumbuhan eksport, sebanyak RM1 bilion ini akan dipadankan oleh dana swasta untuk menyokong syarikat pemula niaga tempatan dan mempromosikan usahawan teknologi.

“Kelima, kerajaan juga akan melaksanakan dasar perindustrian berfokuskan negeri untuk mengurangkan jurang pembangunan antara negeri maju dan kurang membangun seperti mengukuhkan industri hiliran minyak dan gas (O&G) di Sabah dan Terengganu atau meningkatkan aktiviti nilai tambah dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Kulim dan Bayan Lepas.

“Terdapat juga pelepasan cukai untuk firma yang mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi di negara ini, serta semakan semula insentif pelaburan sedia ada untuk memastikan situasi menang-menang lebih baik untuk rakyat/perniagaan dan pelabur kita.”

Semua langkah ini dan banyak lagi bertujuan untuk menjadikan Malaysia antara 12 ekonomi teratas di dunia daripada segi daya saing dan kemudahan pelabur menjalankan perniagaan serta disenaraikan dalam 30 ekonomi teratas di dunia dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya. – Bernama

Sumber