EJEN ALI THE MOVIE DITAYANGKAN DI REPUBLIK UZBEKISTAN

EJEN ALI THE MOVIE DITAYANGKAN DI REPUBLIK UZBEKISTAN

Buat julung kalinya hasil karya filem fenomena animasi Malaysia hasil kerjasama dari Primeworks Studios dan WAU Animation bakal di tayangkan di Republik Uzbekistan. Filem yang dijangka akan pecah panggung ini bakal ditayangkan pada 15 Februari 2022 di lebih 25 pawagam di tujuh bandar di seluruh negara. Filem animasi yang bakal dialih suara dan dilokalkan adalah filem animasi EJEN ALI THE MOVIE.

Pengembaraan seorang kanak-kanak bernama Ali yang berusia 12 tahun dalam melindungi bandar futuristik Cyberjaya dari ancaman yang berbahaya. Ali yang secara tidak sengaja menjadi pengintip dan perlu bertindak mengikut arahan daripada Meta Advance Tactical Agency (MATA). Semua ejen MATA menggunakan alat gadet Infinity Retinal Intelligence System (IRIS) setelah MATA dinaik taraf kepada IRIS Neo.

Ejen Ali mula meragui kedudukan dirinya dalam MATA setelah wujudnya gajet ciptaan baru MATA itu. Dalam pada masa Ejen Ali masih ragu-ragu tentang kedudukan dan kepentingan dirinya dalam MATA, datang pula seorang individu yang tidak dikenali yang memberitahu bahawa dia mengenali dirinya (Ejen Ali). Ejen Ali menyiasat tentang individu itu bagi menunjukkan kesetiaannya terhadap MATA. 

Dengan kerjasama bersama AMEX MEDIA iaitu rakan strategik di Commonwealth of Independent States (CIS) dan wilayah Rusia, serta World Pictures, selaku pengedar filem tempatan di Republik Uzbekistan, filem EJEN ALI THE MOVIE ini akan ditayangkan dan menjadi filem bukan tempatan pertama yang akan dialihkan suara ke bahasa Rusia.

Matlamat utama filem ini adalah supaya EJEN ALI THE MOVIE menjadi sebuah filem animasi yang mudah diakses oleh masyarakat dan penonton tempatan. Hal ini berikutan kerana bilangan rakyatnya yang lebih 36 juta dan kurang dari 30% penontonnya yang hanya boleh bertutur dalam bahasa Rusia dan supaya penonton antarabangsa dapat menonton kandungan program Malaysia yang hebat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Dato’ Khairul Anwar Salleh, setelah berlakunya pandemik Covid-19 pada tahun 2020, dunia hiburan seperti industry pawagam turut terkesan dengan hebat. Lantaran itu, pihak mereka berasa amat teruja kerana filem animasi EJEN ALI THE MOVIE ini berpeluang memasuki pawagam antarabangsa.

Ucapan penghargaan diberikan kepada AMEX MEDIA dan World Pictures kerana memberi peluang untuk EJEN ALI THE MOVIE ini memasuki pawagam tempatan di Uzbekistan. Dengan adanya perolahan suara untuk filem animasi ini, penonton tempatan dapat menikmati filem animasi keluaran Malaysia ini tanpa ada halangan. Semangat yang diperolehi adalah hasil sokongan daripada peminat di seluruh dunia.

Tambah beliau lagi, mereka berasa teruja untuk melihat reaksi daripada penonton yang menonton penggembaraan EJEN ALI Musim 3 yang bakal ditayangkan pada 2022.

Tidak menyangka filem animasi EJEN ALI THE MOVIE yang ditayangkan dua tahun lalu mendapat sambutan, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin berkata, mereka tidak menyangka bahawa Ejen Ali bakal berada di pawagan antarabangsa kerana ianya diluar jangkaan mereka.

Namun begitu, mereka masih berasa gembira atas sokongan yang diberikan oleh kedua-dua pihak, AMEX MEDIA dan World Pictures dan berharap agar filem animasi ini dapat menghiburkan penonton di pawagam di Uzbekistan. Diharapkan juga agar keunikan watak dalam Ejen Ali ini dapat menarik lebih ramai penonton antarabangsa dalam menyertai misi pengembaraan Ejen Ali pada siri TV musim ketiga.

Menurut Ketua Pegawai Operasi AMEX MEDIA, Ivan Agutenkov, Uzbekistan akan menjadi negara yang pertama dalam Commonwealth of Independent States (CIS) dan wilayah Rusia yang akan menayangkan filem EJEN ALI THE MOVIE di pawagam. Harapan beliau adalah supaya mereka dapat menayangkan filem ini di 3 lagi negara seperti Rusia, Kazakhstan dan Ukraine.

Pavel Nelin selaku Ketua Pegawai Eksekutif World Pictures, berkata EJEN ALI THE MOVIE merupakan filem Malaysia pertama diolah menggunakan bahasa tempatan dan gembira kerana diberi peluang bekerjasama dengan pihak AMEX MEDIA, Primeworks Studios dan WAU Animation.

Berdasarkan jumlah pengikut dan penonton di Youtube dan di TV3 yang mencecah jutaan penonton, EJEN ALI kini telah tersenarai dalam antara animasi popular di Asia. Animasi ini telah mendapat perhatian daripada beberapa stesen media antarabangsa dan dari lebih 50 buah negara. Pada tahun 2019, filem animasi pecah panggung ini berjaya meraih kutipan sebanyak RM30 juta bersamaan 8 juta USD. Filem animasi ini merupakan antara filem animasi terlaris di Malaysia.

Teaser trailer pertama Ejen Ali Musim 3 akan disiarkan di laman rasmii Youtube Ejen Ali di www.youtube.com/ejenali . Sila hubungi wakil jualan pengedaran Primeworks Studios di contentdistribution@mediaprima.com.my tentang pra-jualan Ejen Ali Musim 3 untuk maklumat lanjut.