Dr Rasool penuhi impian arwah ayah

Dr Rasool penuhi impian arwah ayah

PERUBATAN bukanlah bidang yang diminatinya, malah beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pengamal perubatan dan bergelar seorang doktor.

Namun galakan daripada Allahyarham ayah, Sehu Mohamed menyebabkan Dr Rasool Shaik Mohamed melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di salah sebuah universiti di Mangalore, India.

Bagaimanapun, ayahnya meninggal dunia ketika Dr Rasool berusia 19 tahun dan sedang mengikuti pengajian di India.

“Bermula daripada detik itu, saya mahu merealisasikan impian arwah ayah yang mahu saya menjadi seorang doktor untuk membantu orang lain.

“Alhamdulillah, saya menjadi pelajar cemerlang ketika di universiti. Saya yakin kejayaan saya hari ini adalah berkat doa arwah ayah, emak dan ahli keluarga yang lain,” kata pengasas Menara Group itu kepada Bisnes Sinar.

Dr Rasool, 48, yang berasal dari Pulau Pinang membuka klinik pertamanya, Klinik Menara di Bukit Jelutong, Selangor pada Mac 2007 selepas beberapa tahun menjadi pegawai perubatan di hospital kerajaan.

“Ketika mengambil keputusan untuk membuka klinik sendiri, saya mahu melakukan sesuatu untuk memajukan diri saya dan memberikan manfaat kepada orang lain.

“Dengan modal sebanyak RM120,000, saya membuka klinik 24 jam yang pertama,” katanya.

Beliau berkata, berbekalkan semangat dan kesungguhannya, beliau membuka klinik kedua selepas mendapat jemputan daripada TM Kuala Lumpur pada tahun 2008.

Sehingga kini, katanya, Menara Group mempunyai sembilan cawangan Klinik Menara di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Dr Rasool bersama doktor dan kakitangannya dalam salah satu program motivasi yang diadakan baru-baru ini.

Dr Rasool bersama doktor dan kakitangannya dalam salah satu program motivasi yang diadakan baru-baru ini.

Selain mempunyai 25 doktor berpengalaman dan 180 kakitangan, Menara Group menyediakan fasiliti dan peralatan perubatan yang terbaik.

“Alhamdulillah, perniagaan ini semakin berkembang maju. Menara Group kini mempunyai pelbagai bidang perniagaan berkaitan perubatan selain Klinik Menara yang memfokuskan kepada perubatan am.

“Menara Group mempunyai sebuah klinik kulit dan estetik dikenali sebagai Radiant Clinique, dua farmasi MyLife Healthcare Pharmacy dan tiga pusat fisioterapi dikenali Physio At Work. Kami terlibat dalam perniagaan ini untuk membantu pesakit yang memerlukan rawatan lebih lanjut berkaitan kulit, fisio dan sebagainya,” katanya.

Kebanyakan pesakit yang pertama kali mengunjungi setiap klinik di bawah Menara Group kagum dengan persekitaran klinik yang bersih dan susun atur setiap ruang yang memberikan keselesaan kepada mereka.

“Ada juga dalam kalangan pesakit takut untuk mendapatkan rawatan di klinik kami kerana menjangkakan kos rawatan yang dikenakan mahal.

“Kami menawarkan harga rawatan yang berpatutan. Rekaan dalaman yang kemas dan nampak mewah bertujuan memberikan keselesaan kepada pesakit dan pengunjung,” katanya.

Katanya, Menara Group mementingkan layanan yang terbaik kepada pesakit, malah menganggap pesakit seperti ahli keluarga sendiri.

“Kami mahu pesakit tersenyum selepas mendapatkan rawatan di sini. Kami juga mahu pesakit berasa selesa dan selamat ketika bersama kami,” katanya.

Dr Rasool berkata, Klinik Menara turut memberikan perkhidmatan pemeriksaan perubatan percuma kepada asnaf di sekitar Lembah Klang dengan berkolaboratif bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan.

“Selain itu, saya kerap membawa kakitangan Klinik Menara untuk memberikan pemeriksaan kesihatan kepada pesakit di Aceh, Indonesia, Kelantan dan Kedah,” katanya.

Tambahnya, Klinik Menara turut membuka klinik di salah sebuah sekolah tahfiz di Aceh yang memberikan rawatan percuma kepada 1,200 pelajar di sana.

Katanya, kejayaan hari ini bukanlah hasil usahanya sendiri sebaliknya kerjasama yang berterusan dan sokongan daripada semua pihak.

“Saya berterima kasih kepada semua doktor dan kakitangan yang bekerja di bawah Menara Group yang sentiasa komited menjalankan amanah yang diberikan,” katanya.



Sumber