CID iktiraf pereka bentuk perindustrian

CID iktiraf pereka bentuk perindustrian

KUALA LUMPUR – Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) memperkenalkan Certified Industrial Designer (CID) bagi program untuk pereka bentuk perindustrian dengan jangkaan 500 permohonan diterima Oktober depan.

Pengurus Besar MRM, Profesor Madya Dr Mohamad Harari Abdullah berkata, pensijilan itu dibangunkan oleh Jawatankuasa Projek Reka Bentuk Perindustrian yang dikawal selia oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Bhd) bagi penetapan kerangka kerja untuk menilai tahap kompetensi dan komitmen pereka industri profesional.

Menurutnya, ia juga bertujuan membangunkan dokumen rasmi dan panduan yang komprehensif dalam pembelajaran dan latihan dalam reka bentuk industri.

“CID juga akan menjadi penanda aras tahap kompetensi pereka bentuk industri profesional berbanding pensijilan yang diperakui badan profesional yang lain.

“Penerima sijil ini akan dinilai oleh lembaga pereka yang dilantik mengikut kategori yang ditetapkan,” katanya pada majlis pelancaran CID yang berlangsung di bangunan SIRIM Bukit Jalil di sini semalam.

Ban Hong (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Kempen Kreatif Covid-19 kategori Poster Digital, Wan Md Hasrul Wan Hassan.

Ban Hong (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Kempen Kreatif Covid-19 kategori Poster Digital, Wan Md Hasrul Wan Hassan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Program diadakan serentak bersama penyampaian hadiah Kempen Kreatif Covid-19 dan pelancaran SIRIM 3D Printing Market Place.

Dalam pada itu, Mohamad Hariri berkata, CID bukan hanya melibatkan pengiktirafan peringkat nasional sebaliknya setaraf antarabangsa berdasarkan rujukan industri dari Amerika Syarikat, Kanada, China, Korea dan Jepun.

“Walaupun China terkenal dengan produk tiruan namun kini negara itu telah berubah dan berada di tangga keempat dalam konteks industri pereka bentuk.

“Industri kita perlu berubah dengan memahami konsep proses reka bentuk iaitu tidak lagi meniru produk luar dan dijenamakan menjadi produk kita,” katanya.



Sumber