Celcom pacu produktiviti digital perniagaan melalui Google Workspace

Celcom pacu produktiviti digital perniagaan melalui Google Workspace

SHAH ALAM- Celcom Axiata Berhad (Celcom) menawarkan Google Workspace, sebuah platform produktiviti dan kolaboratif daripada Google yang merupakan penambahan terkini kepada produk dan perkhidmatan digitalnya yang disasarkan untuk memacu digitalisasi perniagaan di Malaysia.

Celcom dalam satu kenyataan berkata, Google Workspace menggabungkan sistem mesej, mesyuarat, dokumen dan tugasan yang kesemuanya dibina atas platform pengkomputeran awan dan ciri keselamatan Google yang dipercayai.

“Google Workspace juga merancang menyediakan emel yang khusus bagi perniagaan, merangkumi aplikasi seperti Gmail, Calendar, Meet, Chat, Drive, Docs, Sheets, Slides, Forms, Sites dan banyak lagi.

“Google Workspace berfungsi melalui pelayar web tanpa perlu memuat turun apa-apa perisian bagi perkakasan tertentu serta membolehkan pekerja di mana-mana organisasi mengakses aplikasi kolaboratif dan produktiviti yang terkini tanpa perlu memasang atau menyelenggara sistem operasi,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Google Workspace membantu kakitangan dan majikan untuk bersedia menempuhi masa hadapan dengan memberi fleksibiliti yang tidak terhad kepada masa atau lokasi mereka bekerja dan aplikasi dan cara ia digunakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Idham Nawawi berkata, kolaboratif Celcom bersama Google membolehkan mereka menjangkau banyak perniagaan di Malaysia dan memacu transformasi digital bagi organisasi mereka kerana kebanyakan pelanggan sudah biasa dengan penggunaan aplikasi Google.

“Semua organisasi, tidak kira saiz atau sektor, perlu menerima transformasi digital bagi membolehkan mereka terus berdaya saing. Celcom akan berusaha untuk memperkenalkan aplikasi dan solusi paling inovatif bagi keperluan perniagaan tempatan,” katanya.

Bagi Pengarah Urusan Asia Tenggara, Google Cloud, Ruma Balasubramanian berkata, terdapat lebih daripada 3 bilion pengguna di seluruh dunia sama ada daripada perusahaan global sehingga perniagaan kecil kini menggunakan Google Workspace untuk belajar, bekerja dan berhubung bersama orang yang penting kepada mereka.

Ruma

Ruma

“Pandemik ini telah mengubah keseluruhan bagi lanskap dunia pekerjaan, dan bersama Celcom kami menyediakan aplikasi yang inovatif, fleksibel, dan selamat bagi memperkasa kolaborasi digital dan keperluan produktiviti, sama ada mereka kembali bekerja di pejabat mahupun di rumah, dan membolehkan petugas barisan hadapan berhubung dengan pelanggan,” katanya.

Celcom bersama Google, menawarkan pelbagai pakej kepada perniagaan tempatan daripada semua segmen sama ada kecil, sederhana, sehingga perusahaan yang besar, bermula dengan pakej Google Workspace Business Starter.

Untuk membantu pelanggan menghadapi cabaran dalam proses perniagaan semasa, meneroka peluang baharu untuk berinovasi dan merealisasikan idea mereka, Celcom dan Google Cloud akan melancarkan program Design Thinking Labs for Workplace Transformation.

Sumber