Bursa Malaysia kekal meningkat pada tengah hari

Bursa Malaysia kekal meningkat pada tengah hari

BURSA Malaysia meningkat ketika mengakhiri sesi dagangan pagi Jumaat, didorong oleh aktiviti belian berterusan bagi saham-saham wajaran tinggi dan seiring dengan kenaikan pasaran saham global, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.76 mata kepada 1,459.08 daripada 1,450.32 pada akhir dagangan semalam.

Indeks utama itu dibuka menokok 0.77 mata kepada 1,451.09.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 407 berbanding 279 manakala 387 kaunter lain tidak berubah, 1,223 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.03 bllion unit bernilai RM596.64 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks petunjuk utama itu dijangka meneruskan aliran peningkatannya berikutan aliran masuk dana asing yang berterusan.

“Sehubungan itu, kami mengunjurkan indeks itu akan bergerak sekitar 1,445 hingga 1,460 pada hari ini.

“Dalam pada itu, aktiviti pengambilan untung juga menyebabkan haga minyak sawit mentah berkurangan kepada RM3,720 satu tan manakala minyak mentah Brent susut di bawah US$104 setong susulan kebimbangan mengenai permintaan yang rendah,” katanya kepada Bernama.


Bursa tempatan itu menyaksikan aktiviti belian dengan kebanyakannya menumpukan sektor perbankan.

Malah, peningkatan saham-saham Public Bank, CIMB Group, Maybank dan Hong Leong Bank telah menyumbang kenaikan sebanyak 6.104 mata ke atas indeks terbabit.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik enam sen kepada RM8.76, Public Bank meraih sembilan sen kepada RM4.53, CIMB Group menokok tujuh sen kepada RM5.23, Hong Leong Bank menambah 18 sen kepada RM20.50 manakala Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM8.60.

Bagi saham aktif, Widad Group turun setengah sen kepada 37.5 sen, MY E.G. Services susut satu sen kepada 76.5 sen dan Top Glove Corporation berkurangan 1.5 sen kepada 98.5 sen manakala Cypark Resources serta Bintai Kinden Corporation masing-masing tidak berubah pada 35.5 sen dan 10.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 55.03 mata kepada 10,356.94, Indeks FBM Emas Syariah menokok 13.39 mata kepada 10,423.14, FBM 70 meningkat 53.89 mata kepada 12,437.98, Indeks FBMT 100 melonjak 56.77 mata kepada 10,115.87 dan FBM ACE menambah 30.18 mata kepada 4,773.27.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 1.37 mata kepada 638.21 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 169.53 mata kepada 16,385.95, Indeks Perladangan susut 52.16 mata kepada 6,846.37 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.44 mata kepada 176.54. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber