Bursa Malaysia ditutup tinggi, seiring prestasi pasaran serantau

Bursa Malaysia ditutup tinggi, seiring prestasi pasaran serantau

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi daripada penurunan semalam pada Selasa dalam persekitaran prestasi pasaran serantau dengan jangkaan lebih banyak langkah rangsangan daripada China akan berlaku.

Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 10.38 mata kepada 1,454.44 berbanding paras penutup 1,444.06 semalam.

Petunjuk pasaran dibuka rendah 0.59 mata kepada 1,443.47 dan bergerak antara paras 1,441.52 dan 1,455.80 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, pada keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 535 berbanding 505, manakala 338 kaunter tidak berubah, 951 tidak diniagakan dan 71 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.02 bilion unit bernilai RM2.85 bilion berbanding 4.46 bilion unit bernilai RM2.84 bilion pada Isnin.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, FBM KLCI mengalami peningkatan yang baik hari ini, menjelang seminggu pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat.

Petunjuk ekonomi utama AS minggu ini akan memberi pengesahan mengenai keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah.

“Kenaikan saham di China secara berterusan untuk sesi kedua berturut-turut, didorong oleh jangkaan akan berlaku tindakan rangsangan tambahan, ia telah membantu pasaran tempatan yang mendapat inspirasi daripada prestasi semalaman Wall Street yang positif.

“Peserta pasaran kekal responsif terhadap sebarang petunjuk campur tangan rangsangan selanjutnya di China, yang boleh melonjakkan pasaran lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Antara saham berwajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank naik sembilan sen kepada RM9.09; Public Bank menokok enam sen kepada RM4.14; CIMB meningkat tiga sen kepada RM5.63; Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM9.92 dan Petronas Chemicals menambah 19 sen kepada RM7.19.

Harga saham Tenaga Nasional (TNB) secara tidak langsung meningkat hari ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf komitmen, profesionalisme dan dedikasi TNB dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam menyokong cita-cita peralihan tenaga negara.

Perdana Menteri berkata Malaysia perlu memberi tumpuan kepada kepentingan kerjasama antarabangsa dalam mempercepatkan inisiatif peralihan tenaga kerana usaha kolektif boleh memacu perubahan positif untuk masa depan yang lebih bersih dan lebih mampan.

Daripada saham aktif, Iskandar Waterfront City naik 10 sen kepada 76 sen, Ekovest melonjak 0.5 sen kepada 50 sen dan Eastern & Oriental meningkat empat sen kepada 63.5 sen, bagaimanapun RGB International merosot 0.5 sen kepada 30.5 sen dan Parkson turun 6.5 sen kepada 25 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 66.29 mata kepada 10,747.81; Indeks FBMT 100 meningkat 66.42 mata kepada 10,422.53; Indeks FBM Emas Shariah menambah 35.92 mata kepada 10,953.96; Indeks FBM 70 melonjak 57.24 mata kepada 14,266.11 dan Indeks FBM ACE naik 18.00 mata kepada 5,256.47

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 137.24 mata kepada 16,328.73; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.88 mata kepada 172.78; Indeks Tenaga merosot 4.46 mata kepada 832.31 dan Indeks Perladangan susut 7.58 mata kepada 6,941.50.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 3.05 bilion unit bernilai RM2.58 bilion daripada 3.36 bilion unit bernilai RM2.57 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran turun kepada 358.80 juta unit bernilai RM56.04 juta daripada 465.56 juta unit bernilai RM69.82 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan sebanyak 598.89 juta saham bernilai RM204.88 juta berbanding 621.42 juta saham bernilai RM205.02 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 745.28 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (492.69 juta); pembinaan (334.90 juta); teknologi (147.02 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (70.99 juta); hartanah (641.94 juta); perladangan (39.60 juta); REIT (15.91 juta), dana tertutup (3,900); tenaga (231.92 juta); penjagaan kesihatan (86.49 juta); telekomunikasi dan media (40.30 juta); pengangkutan dan logistik (54.99 juta); serta utiliti (152.92 juta). – Bernama

Sumber