Bursa Malaysia diniagakan tinggi minggu depan

Bursa Malaysia diniagakan tinggi minggu depan

BURSA Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan, dengan penilaian bursa tempatan yang lebih murah selepas aktiviti pengambilan untung pada dua hari dagangan terakhir minggu ini yang boleh menarik lebih ramai pelabur asing ke pasaran.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, sentimen di peringkat domestik, bagaimanapun, mungkin berhati-hati berdasarkan risiko pasaran yang semakin meningkat dan turun naik di pasaran global.

“Bagaimanapun, kami percaya penilaian FBM KLCI kekal murah dan masih menawarkan potensi kenaikan kepada pelabur.

“Pada minggu depan, kami menjangka FBM KLCI akan kekal dalam sentimen konsolidasi dan diniagakan antara 1,440 dan 1,460 mata. Dari segi teknikal, kami mengesan paras halangan segera pada 1,465 dan paras sokongan pada 1,440,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, FBM KLCI bergerak dalam corak dagangan yang tidak menentu dengan bahagian pengaruh yang saksama daripada faktor domestik dan luaran, termasuk pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua serta kebimbangan mengenai prospek ekonomi global.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 11.07 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,446.09 berbanding 1,457.16 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 33.57 mata kepada 10,661.56, Indeks FBMT 100 berkurangan 39.77 mata kepada 10,347.53, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 45.20 mata kepada 10,873.51, Indeks FBM ACE susut 80.01 mata kepada 5,264.14 manakala Indeks FBM 70 naik 112.59 mata kepada 14,099.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 42.88 mata kepada 16,254.10, Indeks Perladangan jatuh 91.43 mata kepada 6,995.80, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.09 mata kepada 167.27 dan Indeks Tenaga susut 16.27 mata kepada 815.26.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.57 bilion unit bernilai RM9.19 bilion daripada 15.33 bilion unit bernilai RM8.93 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 11.24 bilion saham bernilai RM7.99 bilion daripada 10.97 bilion saham bernilai RM7.71 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.69 bilion unit bernilai RM251.44 juta daripada 1.64 bilion unit bernilai RM251.87 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 2.61 bilion saham bernilai RM943.32 juta daripada 2.68 bilion saham bernilai RM963.61 juta sebelum ini. – Bernama.

Sumber