Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan

Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan

BURSA Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan di tengah-tengah sentimen pasaran berhati-hati apabila para pelabur bimbang dengan prospek ekonomi yang lemah, kata seorang penganalisis.

Ketua ahli ekonomi dan pengurus dana Interpacific Asset Management Bhd, Datuk Nazri Khan berkata, persekitaran kadar faedah tinggi juga boleh menjejaskan prospek ekonomi, membawa kepada pengurangan ketara permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan pada bulan-bulan akan datang.

“Ini boleh menyebabkan persekitaran pasaran ekonomi yang lemah apabila peserta tidak memasuki pasaran sehingga hala tuju pasaran menjadi lebih jelas,” katanya kepada Bernama.

Nazri berkata, para pelabur bimbang kadar faedah akan kekal tinggi bagi tempoh yang lama untuk menangani inflasi yang berterusan apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) menekankan tentang komitmennya untuk mengekalkan kadar tinggi.

Di pasaran tempatan, katanya, saham Malaysia terus menyusut apabila FBM KLCI jatuh di bawah paras psikologi 1,450 mengakhiri dagangan bagi minggu yang baru berakhir ini.

Bagaimanapun, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik pelabur global akan memastikan pembaharuan yang perlu dan menyediakan pemangkin kepada pasaran seperti yang dirangka dalam Ekonomi Madani.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, beliau menjangka sentimen pasaran kekal kukuh susulan aliran masuk dana asing yang berterusan.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI diniagakan tinggi minggu depan dalam jajaran 1,440 hingga 1,460.

“Dari segi teknikal, kami mengesan paras sokongan segera pada 1,445 manakala paras ketahanan pada 1,460,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, FBM KLCI diniagakan kebanyakannya rendah sejajar dengan prestasi lemah bursa serantau di tengah-tengah sentimen pasaran yang negatif.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 8.80 mata untuk ditutup minggu ini kepada 1,450.23 daripada paras penutup 1,459.03 minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 24.27 mata kepada 10,746.90, Indeks FBMT 100 turun 36.60 mata kepada 10,408.19, Indeks FBM Emas Shariah susut 3.52 mata kepada 11,007.83 dan Indeks FBM ACE jatuh 0.44 mata kepada 5,209.06.

Sementara itu, Indeks FBM 70 meningkat sebanyak 65.25 mata kepada 14,317.08.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan jatuh 109.99 mata kepada 6,927.22 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 109.60 mata kepada 16,220.63 manakala Indeks Tenaga naik 13.06 mata kepada 906.92 dan Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian menokok 0.35 mata kepada 174.83.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 17.26 bilion unit bernilai RM10.98 bilion berbanding 15.17 bilion unit bernilai RM12.02 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 11.78 bilion saham bernilai RM9.71 bilion berbanding 10.70 bilion saham bernilai RM10.96 bilion.

Jumlah dagangan waran mengukuh kepada 1.95 bilion unit bernilai RM270.70 juta daripada 1.73 bilion unit bernilai RM252.61 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 3.39 bilion saham bernilai RM987.96 juta berbanding 2.72 bilion saham bernilai RM645.46 juta sebelumnya. – Bernama

Sumber