Bursa Malaysia dibuka tinggi menjelang keputusan OPR oleh BNM

Bursa Malaysia dibuka tinggi menjelang keputusan OPR oleh BNM

BURSA Malaysia memulakan dagangan pagi ini tinggi sedikit menjelang keputusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) esok.

Pada 9.21 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memperoleh 0.81 mata untuk mencatatkan paras 1,393.30 berbanding 1,392.49 pada penutup Selasa.

Indeks utama dibuka pada 1,392.38, susut sedikit 0.11 mata.

Pergerakan pasaran secara keseluruhan positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 192 berbalas 164, manakala 249 kaunter tidak berubah, 1,630 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 327.70 juta unit bernilai RM129.37 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan sentimen pasaran akan kekal berhati-hati menjelang keputusan OPR, walaupun BNM diunjur mengekalkan kadar pada paras semasa.

“Oleh itu, kami meramalkan indeks bergerak dalam julat 1,390-1,400 hari ini dengan menjangkakan minat dalam sektor kewangan dan telekomunikasi,” katanya kepada Bernama.

Pak Leng berkata, menaikkan OPR akan memberi kesan negatif kepada pasaran saham kerana kos menjalankan perniagaan akan meningkat disebabkan oleh kadar faedah yang lebih tinggi, manakala OPR yang lebih rendah secara tidak langsung akan membantu meningkatkan prestasi pasaran saham.

Sementara itu, dalam nota penyelidikan semalam, OCBC Bank menjangka BNM mengekalkan OPR pada tiga peratus di tengah-tengah momentum pertumbuhan yang perlahan dan tekanan inflasi yang semakin mereda.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing menambah satu sen kepada RM8.71 dan RM3.92, CIMB turun dua sen menjadi RM5.18 manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare tidak berubah pada harga RM9.13 dan RM5.83.

Bagi saham aktif, Parkson peroleh 2.5 sen kepada 21.5 sen, Ahmad Zaki meningkat setengah sen kepada 25.5 sen, Naim Holdings turun 1.5 sen kepada 87 sen sementara BTM Resources dan Tanco kekal, masing-masing pada sembilan sen dan 51.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 7.64 mata kepada 10,266.46, Indeks FBMT 100 naik 6.71 mata menjadi 9,962.51 dan Indeks FBM ACE menambah 14.35 mata kepada 5,109.22.

Indeks FBM 70 turut peroleh 13.20 mata kepada 13,544.30 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 10 mata kepada 10,540.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 17.22 mata kepada 15,500.39, Indeks Tenaga memperoleh 3.25 mata untuk mencatatkan paras 795.66, Indeks Perladangan menokok 3.32 mata kepada 6,833.06 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.30 mata kepada 159.10. – Bernama

Sumber