Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

BURSA Malaysia dibuka rendah pagi Isnin dengan sentimen masih berhati-hati berikutan krisis hutang pemaju hartanah China, Evergrande Group serta pakej rangsangan negara itu yang tidak begitu berkesan, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.30 mata kepada 1,423.87 berbanding 1,424.17 pada penutupan Jumaat lepas.

Indeks utama dibuka 0.10 mata lebih rendah pada paras 1,424.07.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 155 berbalas 131, manakala 265 kaunter tidak berubah, 1,744 tidak diniagakan dan lapan digantung.

Jumlah dagangan 169.92 juta unit bernilai RM72.89 juta.

Menurut satu laporan berita, syarikat itu kini sedang berunding dengan pemiutang luar negara mengenai rancangan penstrukturan semula untuk menyelesaikan lebih AS$30 bilion (AS$1=RM4.70).

Laporan itu menyatakan Evergrande ialah pemaju hartanah yang paling banyak berhutang dan berada di tengah-tengah krisis pasaran hartanah yang mengheret pertumbuhan ekonomi China.

Namun begitu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpendapat kegiatan memburu saham murah dijangka muncul di pasaran tempatan, disokong oleh perkembangan positif di Amerika Syarikat.

Semalam, Presiden AS Joe Biden menandatangani rang undang-undang untuk mengelakkan penutupan yang diluluskan oleh Kongres sehingga 17 November 2023.

“Justeru, indeks utama FBM KLCI diunjur meningkat dalam julat 1,430 hingga 1,440 hari ini,” kata Thong kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing peroleh satu sen kepada RM8.80 dan RM5.44, Public Bank menambah dua sen menjadi RM4.08 manakala Tenaga Nasional kehilangan lapan sen untuk mencatatkan harga RM9.91 dan Petronas Chemicals susut dua sen kepada RM7.17.

Bagi saham aktif, Evergreen dan Kinergy menokok setengah sen kepada 43 sen dan 34.5 sen, Parkson mengembang satu sen kepada 31.5 sen manakala Tanco Holdings dan Widad masing-masing kekal pada 55 sen dan 51 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 0.93 mata kepada 10,581.34, Indeks FBMT 100 turun 1.94 mata menjadi 10,242.56 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 11.02 mata kepada 10,863.50.

Indeks FBM ACE berkurangan 20.55 mata kepada 5,154.69 dan Indeks FBM 70 menguncup 1.77 mata kepada 14,191.50.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.24 mata kepada 171.73, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 34.99 mata kepada 15,953.16 dan Indeks Tenaga naik 4.12 mata kepada 897.86.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan susut 8.63 mata kepada 6,871.72. – Bernama

Sumber