Bursa Malaysia dibuka meningkat sedikit sebelum susut

Bursa Malaysia dibuka meningkat sedikit sebelum susut

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia meningkat sedikit sewaktu dibuka pada Selasa namun susut kemudiannya, menjejaki prestasi lemah semalaman di Wall Street, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama berkurangan sebanyak 2.85 mata kepada 1,422.94 daripada 1,425.79 pada akhir urus niaga, Jumaat lepas.

Ia dibuka menokok 0.40 mata kepada 1,426.19.

Pasaran tersebut ditutup pada Isnin sebagai cuti ganti bagi perayaan Aidiladha.

Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 226 berbanding 105 manakala 193 kaunter tidak berubah, 1,716 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 251.31 juta unit bernilai RM70.40 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, peniaga Wall Street kini berpendirian lebih berhati-hati berikutan menunggu musim pelaporan pendapatan yang dijangka bermula pada akhir minggu ini.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI dijangka kekal dalam keadaan tidak banyak berubah selepas indeks utama ditutup tinggi pada Jumaat akibat aktiviti pembelian saham berharga rendah.


“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks utama akan bergerak dalam jajaran 1,415-1,430 pada hari ini,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM8.63, IHH Healthcare meraih empat sen kepada RM6.40, Tenaga Nasional naik satu sen kepada RM7.93 manakala Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut dua sen kepada RM4.38 dan RM8.45 dan CIMB turun tiga sen kepada RM5.11.

Bagi saham aktif, TWL kehilangan 1.5 sen kepada lima sen, Metronic naik 5.5 sen kepada 15 sen, Top Glove meningkat satu sen kepada RM1, ARB turun setengah sen kepada 10.5 sen dan Dagang NeXchange berkurangan satu sen kepada 75.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.65 mata kepada 10,112.88, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 28.27 mata kepada 10,165.65, FBM 70 turun 37.13 mata kepada 12,159.18, Indeks FBMT 100 merosot 22.20 mata kepada 9,870.88 dan FBM ACE susut 48.72 mata kepada 4,619.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 21.39 mata kepada 16,055.73, Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian susut 1.03 mata kepada 171.80, Indeks Tenaga turun 8.04 mata kepada 628.40 manakala Indeks Perladangan berkurangan 1.90 mata kepada 6,632.96. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber