BSN tawar pembiayaan kepada bakal pelajar, kakitangan UPSI

BSN tawar pembiayaan kepada bakal pelajar, kakitangan UPSI

Jay (tiga dari kiri) dan Md Amin memeterai MoU tersebut di Hotel Scholar Suite, UPSI Tanjong Malim pada Rabu.

Jay (tiga dari kiri) dan Md Amin memeterai MoU tersebut di Hotel Scholar Suite, UPSI Tanjong Malim pada Rabu.

BANK Simpanan Nasional (BSN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi menawarkan produk pembiayaan peribadi kepada bakal pelajar dan kakitangan universiti berkenaan.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, pembiayaan BSN MyRinggit/i-Postgraduate ditawarkan kepada bakal pelajar yang sedang bekerja dan ingin melanjutkan pengajian bagi Program Lepasan Ijazah Secara Separuh Masa dan Program Pengajian Siswazah Secara Pesisir iaitu program akademik pusat pembelajaran di luar kampus.

Menurutnya, jumlah pembiayaan di bawah skim Islamik itu antara RM5,000 sehingga RM50,000 dengan tempoh satu hingga 10 tahun bergantung kepada kelayakan pemohon.

Ujar beliau, jalinan strategik tersebut akan dapat membantu pelajar menampung yuran pengajian dan kos sara hidup selain membuka peluang kepada lebih ramai individu melanjutkan pelajaran di UPSI.

“Kepada kakitangan UPSI di bawah Skim Kakitangan Korporat (SKK), tempoh pembiayaan ini antara satu hingga 10 tahun dengan jumlah maksimum RM400,000

“BSN turut menawarkan Kad Kredit-i Korporat kepada kakitangan khas UPSI bagi memudahkan urusan perbelanjaan sewaktu menjalankan tugas rasmi sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Kad ini tiada yuran tahunan dan tiada caj pembayaran lewat selain dapat menikmati pulangan tunai pada setiap pembelian ke atas perbelanjaan dibenarkan,” katanya selepas memeterai MoU itu di Hotel Scholar Suite, UPSI Tanjong Malim pada Rabu.

Jelas Jay, BSN sentiasa mempelbagaikan penawaran produk dan perkhidmatan demi memenuhi keperluan pelanggan dari pelbagai segmen selaras dengan visi tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menyambut baik inisiatif BSN yang bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar pascasiswazah, malah kakitangan.

“UPSI mengalu-alukan kerjasama ini dalam bersama-sama BSN memperkasakan bidang pendidikan tinggi di negara ini,” katanya.

Sumber