Belian bersih dana asing di Bursa Malaysia meningkat – MIDF

Belian bersih dana asing di Bursa Malaysia meningkat – MIDF

Bangunan Bursa Malaysia. - Foto Bernama

Bangunan Bursa Malaysia. – Foto Bernama

PELABUR asing menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lalu dengan perolehan ekuiti bernilai RM570.9 juta selepas mencatatkan jualan bersih selama dua belas minggu berturut-turut, kata MIDF Research.

Dalam Laporan Aliran Dananya untuk minggu berakhir 14 Julai 2023, ia menyatakan minat pelabur asing bermula pada Rabu, menyaksikan aliran masuk bersih sebanyak RM84.2 juta.

Ini seiring pengeluaran data ekonomi Malaysia yang positif termasuk peningkatan sektor perdagangan borong dan runcit dalam nilai jualan bulanan sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun kepada RM138.0 bilion pada Mei 2023.

Sektor pembuatan negara turut mempamerkan pertumbuhan 3.3 peratus tahun ke tahun dalam nilai jualan kepada RM146.8 bilion pada bulan yang sama.

“Aliran masuk bersih berterusan pada Khamis dan Jumaat, dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM468.9 juta — menandakan aliran masuk bersih tertinggi sejak 28 Februari 2022, sebelum kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS,” kata MIDF Research.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah teknologi (RM115.0 juta), pengangkutan dan logistik (RM102.0 juta) dan perladangan (RM97.0 juta).

Sebaliknya, tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah penjagaan kesihatan (-RM29.7 juta), REIT (-RM10.2 juta) dan tenaga (-RM7.1 juta).

Setakat tahun ini, pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti domestik selama 21 daripada 28 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih RM3.88 bilion.

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula berubah menjadi penjual bersih ekuiti domestik dengan sejumlah RM308.0 juta minggu lalu direkodkan selepas belian bersih selama dua belas minggu berturut-turut.

“Mereka telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 21 daripada 28 minggu, dengan jumlah aliran masuk bersih RM3.62 bilion setakat tahun ini,” katanya.

Peruncit tempatan turut menjadi penjual bersih ekuiti tempatan dengan sejumlah RM262.9 juta minggu lepas. Ia telah menjadi pembeli selama 15 daripada 28 minggu, mencatatkan jumlah belian bersih sebanyak RM253.5 juta setakat tahun ini.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) oleh peruncit (19.9 peratus), institusi tempatan (22.4 peratus) dan pelabur asing (33.7 peratus). – Bernama

Sumber