BDB Masters 2023 tawar hadiah banglo RM1 juta, Perodua Ativa

BDB Masters 2023 tawar hadiah banglo RM1 juta, Perodua Ativa

Sebuah rumah banglo The Breeze, Darulaman Lakehome di Bandar Darulaman, Jitra bernilai lebih RM1 juta menanti pemain yang berjaya membuat pukulan 'hole in one' pada hari ketiga BDB Masters 2023. (Gambar kecil: Raja Shahreen)

Sebuah rumah banglo The Breeze, Darulaman Lakehome di Bandar Darulaman, Jitra bernilai lebih RM1 juta menanti pemain yang berjaya membuat pukulan ‘hole in one’ pada hari ketiga BDB Masters 2023. (Gambar kecil: Raja Shahreen)

KEJOHANAN Golf BDB Masters 2023 yang paling dinanti-nantikan oleh pemain golf amatur kini kembali lagi di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra, bermula 13 hingga 15 Oktober ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata, kejohanan tersebut telah tersenarai di dalam kalendar World Amateur Golf Ranking dan dijangka akan lebih meriah selepas terhenti akibat wabak pandemik Covid-19 beberapa tahun sebelum ini.

Menurutnya, BDB Masters 2023 menawarkan hadiah istimewa kepada pemain yang berjaya membuat pukulan ‘hole in one’ pada hari ketiga iaitu sebuah rumah banglo The Breeze, Darulaman Lakehome di Bandar Darulaman, Jitra dan ditaja oleh anak syarikat BDB iaitu BDB Land Sdn Bhd bernilai lebih RM1 juta.

“Kejohanan kali ini turut menawarkan sebuah kereta Perodua Ativa yang ditaja oleh Zurich General Insurance Malaysia Berhad bernilai RM63,000 bagi pemain yang berjaya membuat pukulan ‘hole in one’ pada hari pertama atau kedua,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Raja Shahreen berkata lagi, kejohanan golf ini dibahagikan kepada Nett dan Gross dan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu Open, Intermediate dan Senior.

Menurutnya, kategori Open terbuka kepada para pemain yang memilik handicap 0 sehingga 14, kategori Intermediate pula memiliki handicap antara 15 hingga 24 dan kategori senior pula terbuka kepada para pemain berusia 60 tahun ke atas dengan kategori nett sahaja serta Handicap 18 ke bawah.

“Sasaran yang diletakkan untuk kejohanan pada kali ini ialah seramai 120 pemain dan sehingga hari ini kita sudah semakin hampir mencapai sasaran tersebut namun masih ada lagi kekosongan di mana kami yakin ia akan dapat dipenuhi sebelum kejohanan bermula.

“Sambutan memberangsangkan terhadap pertandingan ini membuktikan yang BDB Masters bukan sahaja dikenali dan diiktiraf oleh pemain golf di Negeri Kedah sahaja malah di seluruh negara,” ujar beliau.

Tambahnya, para pemain golf amatur di seluruh negara diseru agar tidak melepaskan peluang untuk menyertai BDB Masters 2023.

Menurutnya, Kumpulan BDB selaku tuan rumah akan terus komited dalam usaha untuk menawarkan pertandingan golf terbaik di kawasan utara tanah air yang mempunyai kelainan bukan sahaja dari segi hadiah yang ditawarkan malahan cabaran yang dapat menarik minat peserta dari dalam dan luar negara untuk turut menyertai pada masa akan datang.

Sumber