Bank Rakyat tambah baik platform perbankan digital, QR2E

Bank Rakyat tambah baik platform perbankan digital, QR2E

BANK Rakyat telah menambah baik platform perbankan digital sedia ada, Quick Response to Entrepreneur (QR2E) untuk menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan perbankan termasuk gerbang pembayaran dengan lebih cepat, selamat dan mudah kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, melalui inisiatif itu, urusan pembayaran dan permohonan pembiayaan akan menjadi lebih pantas dan mudah kerana kedua-dua urusan tersebut boleh dilakukan menerusi perkhidmatan QR2E iaitu portal eBiz Suite.

“Antara produk dan perkhidmatan Bank Rakyat yang ditawarkan menerusi portal eBiz Suite termasuklah perbankan Internet korporat i-bizRAKYAT, pengebil JomPAY, ejen bank (Rakyat Care), terminal ‘point of sale’ (POS) pedagang, Pembiayaan Mikro-i dan Pembiayaan Perniagaan-i.

“Pelanggan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dari aspek kewangan dan pengurusan perniagaan serta membuat janji temu di lokasi yang dipilih oleh pelanggan,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, portal itu boleh diakses melalui imbasan kod QR2E atau pautan www.qr2e.bankrakyat.com.my.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, penambahbaikan digital itu untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan dan produktiviti bank dengan menyediakan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan dalam talian (online).

“Inisiatif ini juga melambangkan komitmen Bank Rakyat untuk menyediakan bantuan kewangan kepada golongan usahawan yang memerlukan dengan mempermudah dan mempercepat proses permohonan dan kelulusan pembiayaan lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Bank Rakyat akan terus memberi keutamaan dalam menyesuaikan capaian platform kepada tawaran produk dan perkhidmatan Bank dengan keperluan pelanggan serta persekitaran yang berubah-ubah di samping memastikan urusan perbankan yang lancar di semua peringkat sama ada secara fizikal mahupun online,” katanya.



Sumber