Bank Rakyat lancar Kempen Emas 2 Kilo

Bank Rakyat lancar Kempen Emas 2 Kilo

BANK Rakyat menyasarkan pertumbuhan pengeluaran pembiayaan Ar-Rahnu sebanyak 20 peratus menerusi Kempen Emas 2 Kilo yang diadakan bermula 15 Julai hingga 15 November 2020.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, pihaknya yakin sasaran tersebut dapat dicapai susulan kesedaran masyarakat di Malaysia sudah mula menyedari kelebihan perkhidmatan Ar-Rahnu.

“Kempen ini diadakan untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan khidmat Pajak Gadai-i Ar-Rahnu menerusi 185 cawangan Bank Rakyat dan Ar-Rahnu X’Change di seluruh negara.

“Ia juga menawarkan 28 hadiah menarik bernilai RM400,000 atau 2 kilogram (kg) emas kepada pelanggan,” katanya.

Pemenang hadiah utama Kempen Emas 2 Kilo bakal memenangi 1 kilogram (kg) emas yang akan diumumkan selepas kempen berakhir.

Hadiah lain yang turut ditawarkan termasuklah 500 gram, 250 gram dan 10 gram emas.

Bank rakyat menjelaskan, Kempen Emas 2 Kilo secara tidak langsung membantu mempromosikan perkhidmatan Ar-Rahnu kepada masyarakat serta mendidik mereka bahawa emas merupakan satu aset yang boleh dilaburkan untuk melonjakkan ekonomi individu dan berupaya untuk menjana ekonomi negara.

“Ar-Rahnu bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah keperluan aliran tunai segera, malah ia juga merupakan alternatif pembiayaan yang mudah untuk diproses terutamanya kepada usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Senario itu dapat dilihat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini apabila kebanyakan masyarakat telah memanfaatkan perkhidmatan Ar-Rahnu sebagai medium untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Pada penghujung kempen tahun lalu, bank itu menjelaskan, pihaknya mencapai peningkatan untung RM2.4 juta dalam tempoh empat bulan dilancarkan selain menyaksikan penyertaan seramai 240,000 pelanggan.

Maklumat lanjut berkenaan kempen boleh diperloleh dengan menghubungi talian tele-Rakyat di 1300-80-5454 atau kunjungi laman web www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial rasmi Bank Rakyat, @mybankrakyat (Facebook, Instagram dan Twitter).



Sumber