Bank pusat ASEAN dijangka ketatkan dasar monetari

Bank pusat ASEAN dijangka ketatkan dasar monetari

Gambar hiasan - Foto 123RF

Gambar hiasan – Foto 123RF

BANK-bank pusat ASEAN dijangka mengetatkan dasar monetari masing-masing dalam tempoh 12 bulan akan datang apabila tekanan inflasi meningkat, kata Moody’s Investors Service (Moody’s) pada Isnin.

Tekanan semakin meningkat ke atas bank pusat ASEAN untuk mengekang kenaikan harga kerana mata wang tempatan yang lemah menyebabkan tekanan inflasi terhadap harga import dan menjejaskan lagi aliran keluar modal, katanya dalam satu kenyataan.

“Kekangan bekalan yang berlanjutan juga meningkatkan tekanan inflasi. Bank-bank pusat ASEAN menaikkan kadar faedah pada separuh kedua 2022,” katanya.

Moody’s pada Isnin mengeluarkan laporan terperinci sektor yang memfokuskan kepada enam negara anggota ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Menurut laporan itu, inflasi yang terkawal di negara anggota ASEAN telah membolehkan bank pusat di rantau itu mengutamakan pemulihan ekonomi daripada pengetatan monetari.

“Kenaikan kadar faedah akan membawa kepada meningkatkan margin faedah bersih (NIM) bank. Bagaimanapun, risiko aset untuk bank juga meningkat apabila kadar faedah meningkat.

“Kami menjangkakan kenaikan kadar faedah di rantau ini akan berlaku secara beransur-ansur dan pertumbuhan dalam pinjaman bermasalah akan menjadi sederhana,” katanya.

Moody’s berkata, peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar (NPL) akan menjadi sederhana di seluruh rantau ASEAN kerana tekanan inflasi akan berkurangan di negara-negara anggota ASEAN pada 2023 dan kenaikan kadar itu akan berlaku secara beransur-ansur.

“Kadar inflasi yang berlaku dengan pantas telah mengakibatkan peningkatan NPL dalam lima daripada enam sistem kerana inflasi lazimnya mengakibatkan kelembapan ekonomi dengan kenaikan kadar faedah meningkatkan beban pembayaran balik hutang bagi peminjam.

“Antara bank di negara anggota ASEAN, bank di Thailand dan Vietnam akan paling terdedah kepada peningkatan mendadak dalam kadar faedah kerana peminjam dalam sistem perbankan ini merupakan yang paling banyak berhutang,” kata Moody’s. – Bernama

Sumber