BANK ISLAM SEDIA KHIDMAT PENGURUSAN TUNAI MENYELURUH KEPADA UNIMAP

BANK ISLAM SEDIA KHIDMAT PENGURUSAN TUNAI MENYELURUH KEPADA UNIMAP

PAUH PUTRA, PERLIS, Ahad, 8 Ogos 2020 – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan tunai secara menyeluruh dalam urusan pentadbiran kewangan institusi pengajian tinggi berkenaan. Pemeteraian perjanjian tersebut telah diadakan di Dewan Senat, Bangunan Canselori, kampus UniMAP.

Menerusi kerjasama ini, Bank Islam juga berperanan menjadi peneraju kepada kaedah pembayaran secara digital bagi mewujudkan komuniti tanpa tunai (cashless society), selain memberi pendedahan yang berterusan kepada masyarakat mengenai kaedah pembayaran secara digital. Ini termasuk penyediaan pelbagai solusi berteknologi di bawah portfolio perniagaannya. Usaha sama ini turut membolehkan berlakunya peluasan penggunaan kad debit Bank Islam dalam kalangan kakitangan dan juga pelajar UniMAP.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, iaitu Mohd Muazzam Mohamed, sementara UniMAP pula diwakili oleh Naib Canselornya, Prof Ir. Dr. R Badlishah Ahmad. Mencemar duli menyaksikan majlis berkenaan, Tuanku Canselor UniMAP, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Pro Canselor, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Mohd Muazzam berkata “Bank Islam amat berbesar hati kerana diberi kepercayaanuntuk menyediakan perkhidmatan pengurusan tunai menyeluruh kepada UniMAP.Sebagai sebuah Bank yang menyediakan penyelesaian yang menghasilkan nilai, kamisentiasa berusaha untuk menyediakan produk dan perkhidmatan patuh Syariah terbaikdan berinovasi serta menawarkan nilai tambah bagi memenuhi keperluan warga universiti ini.”

Pada majlis yang sama, Bank Islam turut menyumbang wang zakat yang berjumlah RM30,000 kepada UniMAP untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar yang layak menerima menerusi Tabung Zakat UniMAP di bawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).

Mohd Muazzam menambah, “Penularan COVID-19 memberikan impak negative terhadap kehidupan dan sumber pendapatan segenap masyarakat. Lantas, Bank Islam berusaha dalam mempercepatkan dan meningkatkan lagi sumbangan zakat tahun ini agar ia dapat mengurangkan beban yang dialami pelajar dalam meneruskan pengajian mereka. Semoga dana zakat ini dimanfaatkan sebaik mungkin dan membentuk insan berilmu serta cemerlang yang akan menyumbang terhadap kemakmuran negara pada masa hadapan.”

Pada tahun 2019 yang lalu, Bank Islam menyumbangkan wang berjumlah RM20,000 kepada Tabung Zakat UniMAP demi manfaat para pelajar institusi pengajian berkenaan. Sementara itu, Dr. R Badlishah pula berkata “UniMAP amat berbesar hati kerana tersenarai antara penerima sumbangan zakat Bank Islam yang sememangnya sudah terkenal sebagai institusi kewangan Islam yang kukuh di negara ini. Sumbangan zakat seperti ini menggambarkan komitmen berterusan pihak Bank Islam kepada bidang pendidikan kerana ia merupakan nadi penggerak kepada pembangunan negara. Sumbangan zakat yang diterima ini akan disalurkan kepada pelajar-pelajar UniMAP yang layak.” Tambah beliau, sehingga kini seramai 650 orang pelajar UniMAP telah menerima sumbangan wang zakat yang disalurkan menerusi tabung berkenaan.