Axiata Digital Capital Dan Great Eastern Memeterai Usaha Sama Strategik Untuk Menawarkan Rangkaian Solusi Teknologi Insurans Yang Inovatif Di Malaysia Dan Indonesia

Axiata Digital Capital Dan Great Eastern Memeterai Usaha Sama Strategik Untuk Menawarkan Rangkaian Solusi Teknologi Insurans Yang Inovatif Di Malaysia Dan Indonesia

KUALA LUMPUR, 12 Disember 2019 – Axiata Digital Capital, pembekal perkhidmatan teknologi kewangan (fintech) yang beroperasi di bawah jenama Aspirasi dan Great Eastern, telah memeterai sebuah usaha sama strategik untuk membawakan produk-produk insurans dan takaful yang tersuai buat para pengguna, usahawan mikro dan PKS. Ia akan ditawarkan secara digital sepenuhnya di Aspirasi serta platform-platform rakan kongsinya.
Rangkaian produk insurans dan takaful yang komprehensif tersebut dirumus untuk memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup pengguna, termasuk namun tidak terhad kepada insurans hayat dan takaful, insurans kesihatan, insurans rumah, insurans kemalangan diri, dengan premium atau sumbangan bermula daripada RM1.50 dan IDR5,000.
Ia menandakan usaha sama teknologi insurans (insurtech) yang pertama dimeterai antara platform perkhidmatan kewangan digital serta pembekal insurans dan takaful untuk menawarkan sebuah pengalaman yang lancar dan memudahkan dalam pembelian segera dibuat menerusi kemudahan dalam talian untuk membantu merapatkan jurang akses perlindungan dan insurans di Malaysia dan Indonesia. Menerusi usaha sama ini, warga Malaysia dan Indonesia dapat mengakses pelbagai produk insurans dan takaful yang ringkas dan sesuai untuk keperluan spesifik.
Produk-produk insurans dan takaful berkenaan ditaja jamin oleh Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad, Great Eastern General Insurance (Malaysia) Berhad dan Great Eastern Takaful Berhad di Malaysia, serta PT Great Eastern Life Indonesia dan PT Great Eastern General Insurance Indonesia di Indonesia.
Dengan memanfaatkan data raya (big data), kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan ekonomi tingkah laku, dikuasakan oleh platform digital Aspirasi serta kepakaran Great Eastern dalam perihal melibatkan solusi-solusi insurans dan takaful, Axiata Digital Capital dan Great Eastern komited untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna menerusi satu pengalaman kepenggunaan yang bersepadu.
“Atas sebahagian daripada ikhtiar kami untuk merapatkan jurang keinklusifan kewangan di Malaysia dan Indonesia, insurans bersaiz kecil dan takaful kekal menjadi perkhidmatan kewangan utama yang kami tawarkan di pasaran hari ini menerusi platform Aspirasi. Oleh itu, kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan Great Eastern untuk memupuk inovasi dan menaik taraf kehidupan para pengguna,” ujar Mohd. Khairil Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital.
“Kami berasa teruja untuk berganding bahu dengan Great Eastern, syarikat insurans terkemuka yang tidak lekang memahat tanda aras baharu dalam industri ini. Di Aspirasi, kami memfokuskan aspek teknologi dan data yang bukan sahaja dapat mencetus inovasi perniagaan pada aras dan skala yang luar biasa, malah turut membekalkan kami panduan untuk menunaikan pelbagai keperluan pelanggan kami. Menerusi kolaborasi ini, kami akan memadankan produk tertentu dengan keperluan spesifik para pengguna untuk menzahirkan sebuah pengalaman digital yang tiada tandingannya,” ungkap Sheyantha Abeykoon, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan Axiata Digital.
Aspirasi komited untuk membantu perusahaan mikro dan PKS mencapai matlamat perniagaan mereka dengan memanfaatkan pelbagai solusi-solusi pembiayaan mikro dan insurans bersaiz kecil serta takaful. Dengan pemberian pinjaman dana mikro bernilai RM50 juta kepada 9,000 perusahaan yang direkodkan setakat ini, Aspirasi membidik untuk menjadi rakan kongsi kewangan digital pilihan dan dipercayai bagi komuniti-komuniti yang kurang mendapat perhatian.
Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Group, Khor Hock Seng sementara itu berkata, “Kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan Axiata Digital Capital dan memberikan pelanggan mereka akses yang lancar ke atas solusi-solusi insurans dan takaful mampu milik yang dirumus khas untuk gaya hidup mereka. Kerjasama ini membolehkan kami mencapai pangkalan pelanggan yang lebih luas yang menggunakan kemudahan dalam talian untuk membeli dan mengurus keperluan insurans dan takaful masing-masing. Kepakaran Great Eastern dalam pembangunan produk-produk yang relevan, digandingkan dengan kemudahan platform digital akan menjadi tarikan yang unik bagi pelanggan-pelanggan ini.”
Usaha sama tersebut juga membolehkan Great Eastern terus meletakkan fokus ke atas inovasi digital untuk memenuhi keperluan aspek perlindungan dalam kalangan para pengguna celik yang berunsurkan digital, melengkapkan lagi gaya hidup tanpa tunai yang diamalkan oleh mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *