Astro Awani sokong Malaysia #QuranHour ke arah penyatuan ummah

Astro Awani sokong Malaysia #QuranHour ke arah penyatuan ummah

KUALA LUMPUR – Program Malaysia #QuranHour perlu diteruskan dan disokong oleh pelbagai pihak dalam memberi peringatan, ilmu dan makna tersirat di sebalik al-Quran yang merentas segala aspek kehidupan makhluk.

Demikian kata Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail ketika ditemubual mengenai sokongan pihak rakan sinergi media kepada Malaysia #QuranHour 1444H/ 2022 di pejabatnya di Astro Awani, Bukit Jalil baru-baru ini.

“Al-Quran bukan sehaja menjadi panduan kepada kita sebagai insan, malah memberi kefahaman aspek ketuhanan yang akhirnya mengukuhkan semula keinsanan kita.

“Astro Awani sebagai Saluran Berita dan Hal Ehwal Semasa Nombor Satu di Malaysia memberi sokongan kepada kempen berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal sejak ia diperkenalkan pada 2015.

“Saya melihat #QuranHour bukan semata-mata mengenai orang Islam, tetapi kita ingin melahirkan sebuah masyarakat yang mempunyai akal budi, keilmuan, sifat empati, dan penyayang yang tinggi. Ini selari dengan seruan ALLAH SWT kepada manusia yang diciptakan pelbagai kaum untuk mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Tambah beliau, kefahaman masyarakat hari ini dilihat semakin meningkat terhadap al-Quran dan mereka lebih terbuka kepada diskusi ilmu berkaitan isi kandungan al-Quran.

“Ia banyak dipentaskan dalam pelbagai platform untuk kita mencari makna dan dipraktikkan dalam kehidupan.

“Pada era 1980-an dan 1990-an, saya melihat program al-Quran diberi penekanan teknik bacaan yang betul. Sebenarnya kefahaman mengenai isi kandungan adalah paling penting. Al-Quran bersifat dinamik untuk kita praktikkan dalam kehidupan seharian sebagai hamba ALLAH dan pengisiannya relevan merentas zaman.

“#QuranHour mengajak orang ramai untuk melihat sisi pengukuhan kebersamaan antara sesama insan. Contohnya, surah Al-Insan memberi refleksi keinsanan dan surah Ar-Rahman berkaitan ketuhanan. Tuhan sentiasa tanya nikmat manakah kita dustakan. Ia menjadi peringatan untuk diri sendiri.

“Sebagai Ketua Pengarang, saya sentiasa berhadapan dengan pelbagai isu semasa yang ada kaitan dengan kesombongan dan kerakusan nafsu manusia. Namun kita tidak lari daripada kesilapan. ALLAH SWT mengingatkan kita agar tidak melihat orang lain dengan rasa sombong, takbur dan bongkak

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menjadi lokasi perdana Malaysia #QuranHour pada jam 12 hingga 1 tengah hari pada 30 Ogos 2022.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menjadi lokasi perdana Malaysia #QuranHour pada jam 12 hingga 1 tengah hari pada 30 Ogos 2022.

“Surah Al-Sajdah mengajak kita agar sering bertawaduk dan membumi. Kita perlu mempunyai asas nilai tersebut sama ada sebagai pemimpin atau yang dipimpin walau di manapun kita berada. Al-Quran adalah mekanisme yang efektif dalam menenangkan hati kita untuk bersujud dan mengingati bahawa kuasa paling besar adalah milik ALLAH SWT,” katanya.

Ashwad menambah, solusi infak yang disarankan dalam al-Quran mampu menangani isu orang yang kaya terus kaya dan orang miskin terus miskin.

Bagi beliau, sistem perekonomian Islam yang diperkenalkan sejak zaman Rasulullah SAW memastikan kesaksamaan pendapatan ummah.

“Perbankan Islam semakin hari semakin hebat di Malaysia, malah diperakui di peringkat antarabangsa. Sistem perekonomian dan kewangan yang datang dari pelbagai aliran pemikiran harus digarapkan dengan nilai al-Quran demi kesaksamaan antara sesama insan. Tanpa asas nilai yang kuat tersebut, ia boleh melahirkan masyarakat bersifat individualistik.

“Dalam berniaga, Rasulullah SAW selalu menekankan sumbangan semula kepada ummah. Rezeki kita bukan hanya untuk kita tetapi ada rezeki orang lain juga. Perkara bersedekah dan infak ini perlu disebarluaskan terutamanya dalam kalangan taikun Muslim.

“Selain membantu golongan fakir miskin, mereka yang berpandukan al-Quran mampu menyumbang kepada modal insan yang sama kuat dan hebat,” kata beliau yang mengagumi kepimpinan Rasulullah SAW dalam mendekati pelbagai bangsa dan setiap lapisan masyarakat.

Kata Ashwad, hidup tanpa agama adalah hidup tiada pedoman.

“Untuk memahami agama Islam, kita perlu kembali kepada al-Quran. Ia bukan sekadar dibaca dan dihafal, malah perlu difahami, dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan.

“Ada kalangan guru agama yang menterjemahkan ikut suka mereka atau terlalu ekstrem dengan fahaman masing-masing seperti syariat, makrifat dan hakikat, sedangkan keistimewaan al-Quran adalah memberi solusi dalam persoalan kehidupan insan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak Astro Awani sentiasa membantu semua pihak dalam memanfaatkan maklumat dan ilmu untuk membuat keputusan yang terbaik dalam urusan seharian mereka.

“Selaku Saluran Berita yang dipercayai di negara ini, peranan Astro Awani bukan untuk mempengaruhi tetapi meletakkan pelbagai sudut dan perspektif yang menyumbang kepada pembinaan dan kefahaman rakyat dan pemimpin mengenai sesuatu perkembangan maklumat dan isu.

“Ini selaras dengan prinsip kita untuk adil saksama dan sentiasa konstruktif. Kita ingin melihat rakyat Malaysia terus berjaya yang bukan sahaja sebagai jaguh kampung, malah di persada antarabangsa dan mampu bersaing di peringkat global.

“Untuk mencapai tahap tersebut, kita sesama kita harus saling mengenali dengan lebih baik agar dapat membina kekuatan masyarakat sebagai satu pasukan.

“Peranan media adalah meraikan perbezaan masyarakat agar dapat membentuk kesatuan. Kita menyahut seruan dalam al-Quran iaitu sentiasa mendamaikan dua pihak jika berlaku perpecahan,” katanya.

Malaysia #QuranHour di bawah naung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dianjurkan oleh WUIF dengan kerjasama rakan sinergi termasuk TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Nu Ideativ, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, Denaihati.com, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.

Orang ramai dijemput menyertai Malaysia #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya atau menganjurkan di lokasi masing-masing pada jam 12 hingga 1 tengah hari, 30 Ogos ini.

Sumber