ASM 3 umum agihan pendapatan 4.50 sen seunit

ASM 3 umum agihan pendapatan 4.50 sen seunit

ASNB mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM681.96 juta untuk ASM 3 bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023.

ASNB mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM681.96 juta untuk ASM 3 bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023.

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM681.96 juta untuk dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023.

Pembayaran itu memanfaatkan 563,460 pemegang unit yang pada masa ini memiliki 15.2 bilion unit.

PNB berkata, pengagihan pendapatan sebanyak 4.50 sen seunit melebihi penanda aras bagi pulangan deposit tetap 12 bulan Maybank pada paras 2.86 peratus sebanyak 164 mata asas bagi tahun kewangan sehingga 27 Sept, 2023.

“Dana itu mencatatkan pendapatan realisasi bersih sebanyak RM653.88 juta setakat 26 September 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PNB berkata, pendapatan untuk ASM 3 diperoleh daripada keuntungan yang direalisasikan, dividen dan pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Dana itu juga meneruskan strategi kepelbagaiannya sementara pasaran ekuiti tempatan mendapat manfaat daripada kembalinya keyakinan pelabur asing dan pasaran global mengalami pulangan positif daripada revolusi kecerdasan buatan (AI) generatif,” katanya.

PNB menyatakan pengiraan pengagihan pendapatan ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana berkenaan.

“Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2023,’’ tambah kenyataan itu.

Katanya, urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 27 hingga 30 September 2023.

“Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Oktober 2023, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 2 Oktober 2023,” katanya. – Bernama

Sumber