ASM 2 Wawasan umum agihan pendapatan RM882.49 juta

ASM 2 Wawasan umum agihan pendapatan RM882.49 juta

Kenyataan akhbar PNB pada Selasa mengenai agihan pendapatan ASM 2 Wawasan untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022.

Kenyataan akhbar PNB pada Selasa mengenai agihan pendapatan ASM 2 Wawasan untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022.

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada Selasa mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM882.49 juta bagi Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan) untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022.

PNB menerusi kenyataannya berkata, pengagihan pendapatan itu akan memanfaatkan oleh 906,645 pemegang unit.

Menurutnya, setakat 25 Ogos 2022, dana berkenaan memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.05 bilion dan mencatatkan pendapatan bersih direalisasi RM725.10 juta.

“Pendapatan untuk ASM 2 Wawasan diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta lain-lain pendapatan daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Hasil pendapatan daripada ekuiti kekal sebagai penyumbang utama dengan pelaburan antarabangsa dan domestik masing-masing menyumbang 37.3 peratus dan 36 peratus kepada pendapatan kasar dana,” katanya.

PNB menjelaskan, dana tersebut juga mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio yang telah membuahkan hasil positif, dengan peruntukan kepada pelaburan antarabangsa meningkat sehingga 17.8 peratus berbanding 14.9 peratus pada 2020.

Ujarnya, agihan pendapatan ASM 2 Wawasan adalah bersamaan dengan jumlah pulangan sebanyak 3.75 peratus, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank yang berada pada paras 1.98 peratus sebanyak 177 mata asas bagi tahun kewangan setakat 30 Ogos 2022.

“Dalam tempo sama, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut sebanyak 5.46 peratus, daripada 1,601.38 pada 31 Ogos 2021 kepada 1,500.29 mata pada 26 Ogos 2022.

“Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut. Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2022,” tambahnya.

Urus niaga ASM 2 Wawasan di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 25 hingga 31 Ogos 2022.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 September 2022.


Sumber