Aset Asia dapat permintaan, ringgit melantun semula susulan dolar AS lemah

Aset Asia dapat permintaan, ringgit melantun semula susulan dolar AS lemah

ASET Asia terutamanya di negara pesat membangun, dijangka mendapat permintaan pada separuh kedua tahun ini dalam persekitaran dolar AS yang lebih lemah dan jangkaan kemelesetan di Amerika Syarikat (AS), kata Standard Chartered.

Ketua Pegawai Pelaburan Globalnya, Steve Brice berkata, ketidaktentuan dalam pasaran global akan mendorong pelabur untuk cenderung beralih kepada aset-aset di Asia memandangkan penilaiannya lebih murah berbanding pasaran yang mahal di AS dan Eropah dan berkemungkinan memberikan hasil tinggi di rantau itu sebanyak 6.6 peratus.

Beliau mengunjurkan hasil bon kerajaan 10 tahun AS merosot antara 3.0 dan 3.25 peratus dalam tempoh 12 bulan dan kemelesetan mungkin melanda negara itu pada suku pertama tahun depan.

“Ini akan menyebabkan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengurangkan kadar faedah sekali gus mempengaruhi dolar AS menjadi lemah yang mungkin secara beransur-ansur berpanjangan untuk tempoh enam hingga 12 bulan.

“Secara sejarah, apabila dolar AS melemah, pelaburan menjadi lebih baik secara keseluruhan, begitu juga dengan ekuiti, bon dan emas.

“Sekiranya dolar AS melemah, ia sepatutnya memberi manfaat kepada aset-aset di Asia,” katanya pada sidang media mengenai Prospek Pasaran Global dan Signature CIO Funds Standard Chartered di sini hari ini.

Steve berkata, susut nilai dolar AS malam tadi boleh menjadi permulaan kepada momentum yang lemah, dan ia akan membantu mengurangkan tekanan ke atas ringgit dengan ketara, sudah tentu untuk jangka panjang, mungkin juga untuk jangka pendek.

“Sudah pasti saya tidak akan melihat kelemahan ringgit bagi tempoh tiga hingga 12 bulan,” katanya.

Indeks Dolar AS berada di bawah paras 101.89 malam tadi.

Selain itu, Steve juga menjangkakan kepelbagaian aset akan mengatasi pendekatan tertumpu pada separuh kedua 2023, peruntukan teras kepada emas, alternatif mudah tunai atau aset persendirian, kelas aset yang terbukti sebelum ini memainkan peranan sebagai pempelbagai portfolio.

“Kita telah melihat beberapa kelemahan datang melalui pasaran, jika kita melihat pada perspektif asas dan ekonomi, pasaran kelihatan dinilai rendah, penurunan kira-kira 16 peratus pada penilaian purata.

“Daripada perspektif itu, ia kelihatan seperti pasaran yang cukup menarik. Malaysia adalah sebahagian daripada Asia tidak termasuk Jepun yang merupakan salah satu wilayah pilihan kami di seluruh dunia,” katanya ketika ditanya mengenai pasaran ekuiti Malaysia.

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, diseret oleh jualan pada saat akhir dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh kaunter produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pengguna.

Indeks penanda aras tempatan berakhir pada paras terendah dalam sehari walaupun terdapat sentimen positif daripada bursa serantau.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI merosot 1.83 mata, atau 0.13 peratus kepada 1,396.23 daripada 1,398.06 pada penutupan pada Rabu. – Bernama

Sumber