AmInvest umum agihan pendapatan RM83.4 juta

AmInvest umum agihan pendapatan RM83.4 juta

AMINVEST mengisytiharkan pengagihan pendapatan bersih berjumlah kira-kira RM83.4 juta untuk 27 unit amanah, dana borong dan dana dagangan bursa (ETF) bagi tempoh April hingga Jun 2022.

Dalam kenyataan pada Rabu, AmInvest menjelaskan dana itu merangkumi dana konvensional dan patuh syariah merentas pelbagai kelas aset.

Ketua Pegawai Eksekutif AmFunds Management Bhd, Goh Wee Peng berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada para pelabur atas kepercayaan dan sokongan mereka sepanjang 40 tahun pihaknya menguruskan dana.

“Falsafah dan strategi pelaburan kami telah terbukti memberikan pulangan jangka panjang kepada pelabur,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut AmInvest, pembayaran untuk AmDividend Income, US-Canada Income and Growth serta AmIncome Plus adalah berdasarkan hasil pengagihan pendapatan masing-masing sebanyak 14.3 peratus, 6.8 peratus dan 5.6 peratus.

Selain itu, pengagihan pendapatan bagi ETF FTSE Bursa Malaysia KLCI, iaitu ekuiti ETF pertama Malaysia, diisytiharkan sebanyak 3.6 peratus untuk tahun ini, susulan pengagihan pendapatan interim sebanyak 3.0 sen bagi Jun 2022.

AmInvest ialah nama jenama untuk perniagaan pengurusan dana AmFunds Management Bhd dan AmIslamic Funds Management Sdn Bhd. – Bernama

Sumber