AMARAN ABIGAIL BUAT PLAYER DI LUAR SANA DALAM ‘TRAPS’

AMARAN ABIGAIL BUAT PLAYER DI LUAR SANA DALAM ‘TRAPS’

Musibah pandemik COVID-19 yang melanda dunia bukanlah penghalang bagi penyanyi cantik kelahiran Kuala Lumpur, Abigail Chew atau lebih dikenali sebagai Abigail.

“Ternyata, apa yang berlaku pada dunia ada kesannya ke atas semua. Manakan tidak, proses pembikinan lagu terpaksa ditunda, studio rakaman ditutup dan keadaan agak tidak menentu. Namun saya percaya, karya-karya baru dalam muzik pasti muncul dan menyusul dengan deras,” kata gadis berusia 22 tahun ini.

Lagu ciptaan penuh oleh Abigail, ‘Traps’ ini turut menampilkan rapper terkenal, Lil J, dan diterbitkan oleh label hiburan terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment.

Tambah penyanyi lagu ‘Traps’ ini lagi, “saya sememangnya gemar menghasilkan lagu dan melodi sendiri. Saya cuma pilih jenis beat, bermula dari situ dan berpuas hati dengan hasilnya.”

Cintanya terhadap bidang itu bermula ketika beliau melakukan persembahan di sekolah dan beberapa buah acara. Sejak kecik lagi, Abigail telahpun didedahkan kepada muzik.

Menurut siswazah jurusan psikologi tahun ketiga ini, tempoh pandemik banyak membuka matanya terhadap banyak perkara, terutamanya dalam bidang muzik.

“Saya sememangnya gemar bereksperimentasi dengan pelbagai genre muzik, sedari remaja lagi saya sudah mula menulis dan menghasilkan muzik yang sering membahaskan tentang hal semasa, seperti isu masalah mental dalam single pertama berjudul ‘Status Quo’.”

Menceritakan tentang perihal remaja mahupun dewasa yang sering berlaku dalam mana-mana perhubungan melalui karya yang diciptanya pada kali ini.

“Ia kisah si perobek hati atau dalam bahasa mudahnya player, baik lelaki ataupun perempuan. Pernah tak berdepan dengan situasi di mana ‘si dia’ hadir dalam hidup dengan serba-serbi sempurna dan tiba-tiba menghilang begitu saja? Bayangkanlah perasaan seseorang yang termakan dengan hati budi kekasihnya dan akhirnya diri sendiri dipersalahkan?

Dalam ‘Traps’ saya cuba merungkai permasalahan tersebut yang merangkumi setiap proses iaitu penipuan, manipulasi dan obsesi.

Di awal pembikinan Traps, saya dapat rasakan ada sesuatu yang kurang. Jadi saya pelawa Lil J untuk memberi buah idea dengan menambah dimensi dalam lagu tersebut. Dia berjaya mencipta verse yang kena dengan ‘selera’ saya,” kata penyanyi berusia 22 tahun itu.

Proses rakaman dikatakan berjalan dengan begitu pantas, kurang dari 2 jam di studio MFMF.

Encik Erick Yew, Ketua Label dan Penerbitan Rocketfuel berpendapat bahawa Abigail adalah artis muda penuh berbakat dengan banyak idea yang kreatif. Pihak label juga memberikan sepenuh kebebasan padanya dalam berkarya kerana percaya dengan bakat yang dia ada.

Beliau juga percaya lagu Traps bakal diterima baik oleh semua terutamanya golongan muda kerana jenis muzik generasi kini yang dibawa oleh Abigail.

Penyanyi dan pencipta lagu Traps itu berharap agar pendengar dapat memahami maksud lagu tersebut dan turut nyanyi bersama.

Lagu Traps boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga Youtube Music.